Polis kesan modus operandi tawar perkhidmatan trak tunda sambil curi barang kereta

2300

Modus operandi sekumpulan individu yang kononnya menawarkan khidmat trak tunda kepada pemandu kereta terbabit kemalangan sebelum mencuri barang dalam kenderaan telah berjaya dikesan oleh pihak polis.

trak tunda
gambar hiasan

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, hasil maklumat dan risikan, pihaknya menahan empat individu termasuk dua wanita di sebuah stesen minyak di Shah Alam baru-baru ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Katanya, turut dirampas satu alat pembesar suara, satu SmartTAG, satu kad Touch ‘n Go, satu beg silang, dua kad debit, tiga telefon bimbit, satu jam tangan berjenama serta satu kunci kereta sebagai bahan bukti siasatan.



Pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun yang memaklumkan Peugeot yang dipandunya di Jalan Syed Putra, mengalami kemalangan jam 12.30 tengah malam pada 19 Disember lalu.

Selepas insiden itu, mangsa didekati dua lelaki dan dua wanita yang menawarkan khidmat trak tunda. Ketika pengadu sedang berunding dengan seorang lelaki itu, dia melihat tiga lagi individu berkenaan dalam keadaan mencurigakan berdekatan keretanya.

gambar hiasan

Pengadu juga melihat seorang wanita itu masuk ke dalam keretanya dan keluar semula lima minit kemudian. Hasil perbincangan, mangsa tidak bersetuju untuk menggunakan khidmat trak tunda ditawarkan mereka.

Selepas mereka beredar, pengadu mendapati beberapa barang miliknya dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 yang berada dalam kereta hilang.

Tambah Anuar, dua suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah pecah amanah, manakala seorang suspek wanita ada beberapa rekod jenayah berkaitan dadah serta curi.

Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di daerah ini boleh menghubungi polis Brickfields di talian hotline 03-2297 9222.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here