PKP 2.0: Pengusaha bas sekolah hilang punca pendapatan, mohon bantuan kerajaan

1478

Lebih 30 peratus daripada kira-kira 15,000 pengusaha bas sekolah di negara ini terpaksa menghentikan operasi susulan kehilangan punca pendapatan.

pengusaha bas sekolah

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, kebanyakan mereka hilang pendapatan dalam tempoh lebih enam bulan sejak tahun lalu susulan penutupan sekolah secara fizikal.



Katanya, pengusaha yang masih meneruskan perniagaan mengalami kerugian antara RM1,500 hingga RM3,000 kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi melakukan persiapan pembukaan sekolah secara fizikal yang dijadual bulan ini.

“Bagaimanapun, pembukaan sekolah secara fizikal ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Ia sesuatu yang kita tidak jangka tetapi ia berlaku,” kata Amali Munif.

“Kerugian itu membabitkan kos menghidupkan tempoh insurans, cukai jalan dan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) yang diwajibkan sebelum memulakan operasi.

“Kebanyakan pengusaha bas sekolah sudah mengeluarkan modal untuk melakukan semua persiapan bagi sesi persekolahan ini termasuk menukar tayar atau bateri,” tambahnya.

pengusaha bas sekolah

Beliau berkata, ada juga pengusaha menerima bayaran yuran untuk Januari namun sebahagian mereka terpaksa memulangkannya kerana pembatalan sesi persekolahan secara fizikal.

Katanya, yuran dikenakan pengusaha bas sekolah setiap bulan adalah antara RM40 hingga RM200 bergantung kepada lokasi.

Ia menyebabkan ramai pengusaha bas ‘mengalah’ dengan melakukan kerja lain dan menjual kenderaan mereka untuk memulakan perniagaan lain.

Selain kehilangan mata pencarian bulan ini, sepanjang tahun lalu pendapatan mereka tidak sampai enam bulan.

Lanjut Amali Munif, kerajaan perlu membantu pengusaha bas sekolah berikutan mereka memberi perkhidmatan kepada kira-kira sejuta pelajar dari peringkat prasekolah, sekolah dan tuisyen.

Katanya, kerajaan wajar menyeimbangkan bantuan antara bas awam dan sekolah.

“Kalau kerajaan boleh menyediakan perkhidmatan bas awam secara percuma yang banyak dimanfaatkan oleh warga asing untuk pergi ke kerja dan sebagainya, mengapa tidak peruntukan itu disalurkan buat pengusaha bas sekolah juga,” katanya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here