Kerja jual besi buruk tapi selalu ‘show off’ BMW 6-Series, remaja 18 tahun kantoi jual bahan terlarang

5477

Di sebalik kekayaan dan kemewahan seorang remaja 18 tahun, siapa sangka rupanya dia menjalankan kegiatan haram dengan mengedar dadah.

gambar hiasan

Kejadian yang berlaku di Kelantan ini terbongkar selepas dia dan bapanya ditahan polis kerana dipercayai mengamalkan gaya hidup mewah hasil wang haram tersebut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar, remaja berusia 18 tahun dan bapanya berusia 60 tahun hanya bekerja sebagai penjual besi buruk di Tanah Merah.

Namun mereka mengamalkan gaya hidup mewah seperti remaja berkenaan yang memiliki sebuah BMW 6-Series.

 BMW 6-Series

Remaja itu dan bapanya antara lima individu yang ditahan polis pada Rabu kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah. Tiga lagi suspek dipercayai rakan mereka dalam kegiatan itu masing-masing berusia 22, 25, serta 28 tahun.

Dalam serbuan itu, polis telah menahan tiga ahli kumpulan itu yang berada di tepi jalan di Kampung Tok Che Dol, Tanah Merah dan mendapati seorang daripada suspek menggenggam empat paket plastik dipercayai berisi 800 pil kuda dianggarkan bernilai RM8,000.

Sejam selepas itu, polis menyerbu pula sebuah rumah di alamat RPK Gual Ipoh, Tanah Merah dan menahan remaja tersebut bersama bapanya. Mereka membawa polis ke satu kawasan semak berhampiran iaitu tempat menyembunyikan botol mengandungi dadah dipercayai pil kuda, syabu dan heroin dianggarkan bernilai RM112,000.

Tambah pihak polis lagi, pemilikan kereta mewah berkenaan dipercayai hasil kegiatan jual beli dadah kumpulan tersebut yang aktif di sekitar daerah Tanah Merah sejak awal tahun lalu.

Selainnya, polis juga menyita lima motosikal pelbagai jenis, dua kereta iaitu Proton Satria dan Perodua Myvi serta wang tunai RM829. Jumlah sitaan bernilai RM203,829 manakala rampasan dadah berjumlah RM120,000 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM RM323,829.

Manakala,  ujian urin tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala dua beranak tersebut pula negatif. Difahamkan kesemua mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula pada Khamis sehingga Rabu depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here