Lelaki ini digelar ‘Elon Musk of Africa’ selepas berjaya hasilkan kereta daripada bahan terbuang

1336

Siapa sahaja yang tidak mengenali Elon Musk, pengasas Tesla dan individu yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai manusia paling kaya di dunia.

Kehebatan Elon Musk dalam menghasilkan kereta EV sememangnya tidak dapat dinafikan. Namun selain Elon Musk, pernah atau tidak anda terbaca kisah seorang lelaki di Ghana yang mahir mencipta kereta dengan hanya menggunakan bahan-bahan logam terbuang?



Lelaki yang dimaksudkan mahu dikenali sebagai Kelvin dan penduduk setempat menggelarnya sebagai ‘Elon Musk of Africa’.

Elon Musk of Ghana

Walaupun kehidupan di Ghana sangat daif serta serba kekurangan, namun keadaan itu bukanlah satu alasan untuk Kelvin tidak berjaya dalam bidang kejuruteraan automotif.

Menerusi perkongsian video oleh YouTube Nas Daily, Kelvin sejak berumur 10 tahun sudahpun berjaya mencipta robot, vakum serta kapal terbang permainan yang diperbuat daripada bahan terbuang.

Elon Musk of Ghana

Kelvin juga dimaklumkan tidak bersekolah dan dia hanya belajar sendiri untuk mendalami ilmu automotif ini menerusi pemerhatian serta penelitian cara pembuatan kereta di kedai kereta.

“Saya akui bahawa saya amat minat dalam bidang pembuatan enjin ini. Namun disebabkan faktor kewangan, saya tidak mampu untuk bersekolah di sekolah kejuruteraan,” kata Kelvin menerusi video berkenaan.

“Segalanya saya belajar sendiri termasuk cara menghasilkan kereta,” tambahnya.

Elon Musk of Ghana

Difahamkan, selama 4 tahun, Kelvin ulang-alik ke kedai kereta untuk mendalami ilmu automotif. Apabila sudah faham mengenai kereta, dia kemudiannya mencari bahan logam yang terbuang di kawasan tempat pelupusan sampah, lokasi pembinaan serta di lain-lain tempat.

“Namun tidak semua bahan terbuang boleh ditemui, maksud saya enjin yang terpaksa saya beli walaupun harganya jauh lebih mahal daripada kemampuan pendapatan saya sekeluarga.

“Demi melaksanakan impian ini, saya mengambil upah berkerja sambilan sebagai buruh binaan demi mengumpul wang untuk membeli enjin kereta terpakai untuk kereta saya,” lanjut Kevin.

Akhirnya, Kelvin berjaya menghasilkan sebuah kereta seakan-akan Tesla dengan pintu terangkat seperti Ferrari dengan kos sebanyak USD3,000 (RM12,000).

Seperti Elon Musk yang mencipta EV, begitulah juga dengan Kelvin yang bercita-cita untuk mencipta kereta elektrik berjenama syarikatnya sendiri satu hari nanti.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here