[Video] Tak puas hati petak pam minyak diambil, lelaki hayun topi keledar pada warga emas ditahan

11016

Hanya kerana tidak berpuas hati petak pam minyak diambil orang, seorang lelaki menghayunkan topi keledar sekaligus mencederakan seorang warga emas di sebuah stesen minyak Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.

Video berkenaan tular di media sosial dan suspek berjaya ditahan pihak polis. Hasil semakan, lelaki berusia 38 tahun itu memiliki satu rekod jenayah berbahaya pada 2010.



Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek merupakan warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

“Dia masih dikehendaki polis bersabit kes 2010 namun ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia negatif dadah.

“Susulan penahanan itu, pihak polis turut merampas pakaian yang dipakai ketika kejadian, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 dan sebuah topi keledar,” katanya. 

Tambah Amihizam, suspek mendakwa kereta dipandu mangsa masuk ke petak pam minyak yang dia hendak mengisi minyak motosikal dan mengakibatkan suspek tidak berpuas hati lalu memukul kepala lelaki berusia 64 tahun itu. 

Mangsa sudah menerima rawatan di hospital dan dibenarkan keluar wad hari ini.  Keterangan lanjut mangsa akan dirakam apabila dia benar-benar pulih dan bersedia memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara, suspek kini direman sehingga 16 November di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. 

Pihak polis meminta saksi awam di tempat kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan.

VIDEO

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here