MARA dan Petronas bantu mengembangkan syarikat industri automotif bumiputera

940

Kolaborasi antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) untuk meluaskan dan meningkatkan insentif industri automotif dijangka menarik lebih banyak syarikat tempatan khususnya di kalangan Bumiputera yang mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Inisiatif ini dicapai dengan pembukaan beberapa outlet PETRONAS AutoExpert dan Auto Servis oleh usahawan Bumiputera yang terpilih untuk menyertai Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP).

PUMP dibangunkan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing usahawan agar lebih kompetitif di pasaran. Antara komponen yang dibangunkan melalui program ini adalah peningkatan imej bengkel dengan konsep terkini melibatkan penggunaan teknologi yang bersesuaian yang mampu menarik lebih ramai pelanggan.



Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, inisiatif itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam membangunkan industri automotif negara yang sedang berkembang pesat dengan menginovasikan strategi perniagaan daripada PETRONAS yang boleh dimanfaatkan.

Menurutnya, selain itu, ia boleh mengharapkan kesan limpahan positif seperti pekerjaan berimpak tinggi serta pindahan teknologi dan pengetahuan kepada ekosistem dalam industri berkenaan.

“Usahawan di bawah PUMP ini telah kita lengkapkan dengan beberapa siri latihan keusahawanan bagi memperkasakan mereka dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya.

Malah, modul bagi latihan ini telah kita rangka secara bersama dengan anak syarikat PDB, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM),” katanya. 

Azizah hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Servis Kenderaan PETRONAS AutoExpert di Bandar Sri Sendayan hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Hardeep Singh dan Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Program yang dibangunkan sejak awal tahun ini melibatkan 29 usahawan pengusaha bengkel kenderaan yang dipilih melalui proses temuduga dan konsep bengkel yang akan dibangunkan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Setakat hari ini, seramai 8 daripada usahawan terpilih untuk mengubahsuai bengkel kepada PETRONAS AutoExpert dengan jumlah pembiayaan yang disalurkan oleh MARA sebanyak RM6.45 juta.

Walaupun negara masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis pandemik COVID-19, 3 daripada pengusaha tersebut telah berjaya mencapai nilai jualan lebih daripada RM2 juta dalam tempoh 3 bulan beroperasi.

Sementara itu, Hardeep berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab, PETRONAS Dagangan Berhad mengutamakan pembangunan perniagaan dan kebajikan sosial masyarakat.

Menurutnya, program itu bukan hanya memberi impak kepada usahawan automotif tetapi juga memberi manfaat yang tinggi kepada pihak pengguna melalui tawaran perkhidmatan yang lengkap dan profesional dengan harga berpatutan daripada PETRONAS AutoExpert.

“Kerjasama ini merupakan pencapaian penting, hasil daripada perkongsian agensi awam dan swasta bagi merealisasikan pembabitan usahawan di dalam teknologi berimpak tinggi selaras dengan Dasar Automotif Nasional,”katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here