#TahukahAnda: Proton Tanjung Malim miliki panel solar parkir terbesar Malaysia, ini kelebihan…

1911

Proton memperkenalkan inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim bagi meningkatkan kecekapan penggunaan elektrik.

Projek tersebut dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun sekaligus menjimatkan kos utiliti. 



Projek solar itu melibatkan lokasi ruangan parkir dan bumbung kilang. Proton menggunakan 20,544 panel solar dwi muka di ruangan parkir seluas 23.4 ekar dan merupakan yang terbesar di Malaysia.

Kemudahan panel solar parkir itu mampu menghasilkan kuasa 9MWp yang diperoleh  daripada cahaya matahari dari panel bahagian atas serta pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel.

Sementara, panel solar bumbung kilang membekalkan kuasa hingga 12MWp yang mana fasiliti kedua-dua tenaga solar itu mampu memenuhi sehingga 25 peratus penggunaan kuasa kilang berkenaan.  

Ia juga berpotensi mengurangkan bil elektrik Proton sebanyak RM4.39 juta setahun dengan penjimatan sebanyak RM1.46 juta melalui 3MWp yang dijana oleh panel yang dipasang di bumbung kilang.

Dalam tempoh lima tahun bermula 2015 hingga 2020, Proton mencapai penjimatan bil tenaga elekrtrik RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000 MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara.

Perjalanan pengurangan karbon bermula 2015 melibat lima fasa:

Fasa 1: Sistem pengurusan tenaga di kilang pengeluaran dan ibu pejabat untuk mengumpul dan menilai data penggunaan. Selepas pengumpulan dan analisis data tenaga selama dua tahun, syarikat mewujudkan garis dasar tenaga seluruh kilang dan pejabat yang memberikan gambaran lebih mendalam untuk mengurangkan penggunaan tenaga.

Fasa 2: Pelaksanaan beberapa projek penjimatan yang terdiri daripada pemasangan lampu LED, penggantian penyejuk dengan penyejuk magnet dan menggunakan unit pemampat induk untuk mempercepatkan bekalan udara termampat bagi menyesuaikan dengan permintaan semasa pada setiap bahagian pengeluaran.

Fasa 3: Tumpuan kepada pengurusan sisa dan air yang mana Proton melaksanakan sistem penggunaan air kitar semula untuk menara penyejuk pemampat dan menambah air untuk tangki pili di kilang Tanjung Malim.

Fasa 4: Penggunaan tenaga boleh diperbaharui melalui loji tenaga solar yang dipasang pada bumbung kilang dan parkir oleh Pekat Solar Sdn Bhd dan rakan sekutu MFP Solar. 

Fasa 5: Mendigitalkan semua data tenaga Proton dalam cloud server untuk memperkenalkan teknologi AI dan analisis data besar bagi membolehkan pengurusan tenaga syarikat dengan ramalan penggunaan tenaga dan langkah preskriptif untuk mengurangkan penggunaan tenaga di semua kilang dan kemudahan pejabat.

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here