
Pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Hang Tuah dan videonya tular pada Ahad tidak ditahan kerana mengalami serangan sawan bukan mengambil barang terlarang seperti didakwa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Cristopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 petang pada Ahad apabila kereta berkenaan dipandu lelaki berusia 24 tahun merempuh sebuah Honda Civic yang bergerak dari arah Jonker Walk menuju ke Jalan Tun Ali.
Menurutnya, pemandu berkenaan telah dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.
“Tiada tangkapan dibuat. Pemandu berkenaan yang bekerja sebagai mekanik dimaklumkan mengalami serangan sawan.
“Pegawai penyiasat masih menunggu pemandu itu untuk membuat laporan polis,” katanya menerusi kenyataan.
Pada Ahad, tular video berdurasi 27 saat di media sosial memaparkan lelaki berkenaan dalam keadaan separa sedar dan didakwa mabuk atau mengambil bahan terlarang selepas memandu secara berbahaya.
Cristopher berkata, akibat pelanggaran tersebut Honda Civic dipandu lelaki berusia 26 tahun berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian belakang termasuk bumper pecah, bonet kemek dan tayar belakang pecah, manakala Honda Jazz mengalami kerosakan pada bahagian bampar hadapan.
Beliau berkata, pemandu Honda Civic tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan rakaman percakapan telah direkodkan.
Kes diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan diteruskan.






























