Kenapa mak-mak patut ‘usha’ Mitsubishi Xpander

12035

Kehadiran Mitsubishi Xpander dalam kelas MPV pengenalan asas bukan sekadar mengisi segmen tersebut.

Ketika konsumer MPV sudah ‘jenuh’ dengan rekaan kenderaan keluarga jenama lain yang cenderung dalam zon selesa, Xpander datang mengisi kekosongan dan memberikan alternatif terbaik. 

Selain itu, penggayaan, ruang lapang dan prestasi pemanduan Xpander bakal membuatkan golongan emak makin cinta pada MPV itu.



PENGGAYAAN 

Penampilan Xpander yang lebih segar boleh dikatakan breakthrough dalam kelasnya. Bahasa rekaan Dynamic Shield disisipkan pada depan dan belakang.

Kemudian rekaan lampu nyala siang (DRL) LED yang tirus di atas lampu utama memberikan penampilan garang.

Gabungan gril dan bampar depan yang menempatkan lampu utama di tengah bampar memberikan kesan mewah.

Sesuai buat persatuan emak yang mengutamakan penampilan. Tiada siapa yang menyangka di sebalik stereng merupakan seorang wanita kerana penampilannya yang gagah dan sporty. 

MULTI KEGUNAAN

Geng emak yang anak mula membesar dan perlu menghantar ke sekolah perlukan MPV yang value for money.

Namun pada masa sama memenuhi keperluan membawa kereta sorong anak, barangan keperluan dapur serta tujuan lain. Xpander adalah jawapannya.

Ruang kabin yang lapang bukan saja selesa buat menghantar anak-anak ke sekolah, bahkan untuk menyimpan barangan juga tidak masalah.

Ini kerana Xpander menyediakan banyak ruang simpanan misalnya bawah kerusi depan, kotak storan bawah kerusi, poket sisi kerusi baris ketiga bersama pemegang botol, kotak konsol tengah, pelbagai kotak barang dan kotak glove dua bahagian.

Bahkan jika emak-emak mencari duit tambahan sebagai penjual online juga tiada masalah. Xpander mampu membawa barangan jualan tidak kira besar atau kecil tanpa kompromi kerana kerusi baris kedua dan ketiga boleh dilipat untuk kargo tambahan. 

Selain itu, jangan bimbang anak-anak kepanasan apabila menjemput mereka dari sekolah. Xpander dilengkapi dengan empat ventilator penyaman udara pada bumbung untuk aliran udara lebih baik di kerusi kedua dan ketiga. 

Bahkan anak-anak yang duduk di belakang boleh mengawal kipas sehingga kelajuan empat untuk penyejukan lebih pantas.

Tawaran tujuh kerusi juga membolehkan golongan emak menumpangkan anak-anak jiran  bukan saja memudahkan urusan emak yang lain, tetapi bekalan pahala buat anda. 

Di samping itu, cermin depan yang luas memberikan pandangan lebih besar dan jauh buat golongan emak melihat kenderaan lain.  

PENGENDALIAN

Kereta dengan harga ‘mampu milik’ biasanya didatangkan dengan sistem suspensi kurang selesa, namun tidak pada Xpander. 

Selain boleh membawa barang yang banyak, keselesaan pengendalian juga penting. Jangan bimbang jika anda membawa beban terlalu banyak kerana Xpander disokong oleh topang MacPherson spring koil bersama bar penstabil di depan dan torsion beam di belakang.

Bagi kaum emak yang rasa tidak yakin memandu MPV kerana saiznya yang panjang, jangan bimbang kerana anda seolah memandu sebuah sedan. Tiada isu ibarat ekor tertinggal di belakang.

Jika memandu di kawasan yang kecil tiada masalah kerana pusingan radius 5.2 meter memudahkan untuk melepasi lorong kecil atau membuat pusingan U. Apatah lagi ketika masuk atau keluar parkir pusat membeli belah yang sempit. 

PETUALANGAN KELUARGA HUJUNG MINGGU

Kenderaan multifungsi ini tidak hanya boleh membawa keluarga menjelajah kawasan kota, tetapi juga boleh diajak bertualang ke pelbagai lokasi pelancongan. 

Enjin petrol 4-silinder 1.5L MIVEC berkuasa 103hp @ 6,000rpm dan tork 141Nm @ 4,000rpm dengan transmisi automatik 4-kelajuan memberikan hantaran kuasa yang cukup untuk mendaki bukit atau melalui permukaan jalan off road ringan.

Jalan raya biasa apatah lagi, ketika anda memecut di lebuh raya, Xpander cukup stabil. Bahkan jarak kelegaan tanah yang tinggi sekitar 205mm memudahkan pemandu melepasi jalan tinggi, berbatu atau tidak rata bahkan banjir kilat. 

Suspensi juga dioptimumkan untuk memberikan pemanduan yang stabil dan selesa, terutamanya mengambil selekoh atau jalan berangin. Ia mempunyai penyerap hentak dengan injap berprestasi tinggi yang mengurangkan getaran.

Mitsubishi juga menawarkan ciri keselamatan aktif dan pasif lengkap misalnya: 

    • 2 beg udara SRS
    • Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
    • Agihan Brek Elektronik (EBD)
    • Kawalan Stabiliti Aktif (ASC)
    • Bantuan Brek (BA)
    • Bantuan Mula Daki (HSA)
    • Peringatan Rehat
    • Sistem Atasi Brek (BOS)

Bagi keluarga yang begitu teliti dalam mempertimbangkan sebuah MPV keluarga terutamanya golongan emak yang bukan hanya memikul tanggungjawab menguruskan anak dan hal keluarga, tetapi juga sesekali ingin berkelana jauh ‘girls trip’, Xpander jawapannya dan dipastikan tidak merugikan.

Anda juga boleh tonton video ini:

GALERI GAMBAR

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here