#Spyshot: Haval H6 jalani ujian enduran di Malaysia, bakal tawar varian hibrid?

1085

Model Haval H6 dikesan sedang menjalani ujian enduran di Malaysia dan imej intip yang dirakamkan itu dipercayai di Hentian Rehat dan Rawat Tapah, Perak.

Menurut Funtasticko, dua unit ujian itu merupakan varian berbeza jika dilihat pada rekaan gril depan. Kebarangkalian, GWM Malaysia bakal membawa masuk varian petrol dan hibrid.



Walaupun badan ditutupi dengan kamouflaj, isyarat reka bentuk SUV jelas boleh dilihat termasuk gril rekaan Fangsheng, lampu depan LED Rising Flame, bampar depan bentuk X dan lampu belakang yang ditarik panjang hingga pintu but.

Di peringkat global, H6 ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter 4-silinder turbo berkuasa 169PS dan tork 280Nm serta enjin 2.0 liter turbo 4-silinder berkuasa 204PS dengan tork 320Nm.

Di pasaran Thailand, SUV pesaing kepada Proton X70 itu ditawarkan dengan pilihan trenkuasa1.5 liter turbo petrol hibrid yang menghasilkan kuasa 243PS dan tork 530 Nm hasil gandingan dengan motor elektrik. Kemudian ia dipadankan  dengan transmisi 7-kelajuan dual klac. 

Walaupun H6 dibina di Thailand untuk rantau Asia Tenggara, ada kemungkinan SUV itu akan dipasang di Malaysia memandangkan rakan kongsi tempatan GoAuto masih mengendalikan kilang di Gurun, Kedah.

Ini dikukuhkan lagi apabila model ujian itu menggunakan plat dagangan Kedah dan Pulau Pinang. Untuk makluman , Haval H6 di Thailand dijual pada harga mula RM149,000. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 
 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here