Proton pasang tempatan enjin 1.5L TGDi, pertama luar dari China

1016

Proton memperkenalkan barisan pemasangan enjin 1.5 liter TGDi di kemudahan Tanjong Malim, Perak dalam lawatan eksklusif bersama kumpulan media lokal.

Malaysia menjadi negara kedua memasang janakuasa tersebut yang mana pengeluaran bermula April lalu. Lebih daripada 50 jurutera terlibat dalam projek enjin tersebut bermula Mac 2020 melibatkan perkongsian skil dan pengetahuan teknologi bersama Geely.



Kemudahan berkeluasan 18,000 meter persegi itu memiliki kapasiti maksimum 180,000 unit dengan operasi tiga syif.

Kilang kemudahan enjin itu merupakan sebahagian daripada pelaburan RM1.8 bilion yang diperuntukkan oleh Proton dalam temph 5-tahun untuk menaik taraf kemudahan di Tanjung Malim.

ENJIN 1.5L TGDI

Sebanyak 750,000 buah kenderaan di bawah Geely Group menggunakan enjin 1.5 liter TGDi melibatkan jenama Geely, Volvo, Lynk & Co dan Proton.

 

Janakuasa berkenaan menggunakan penyelesaian seperti pengecilan saiz enjin, sistem termal dan pelinciran yang dioptimum, pengecas turbo inersia rendah, dan GDI yang dihomogenkan selain prestasi enjin dengan penggunaan bahan api dan pelepasan emisi rendah yang memenuhi syarat Euro 6.

Sebagai produk pemasangan tempatan, Proton mendapatkan alat ganti daripada pembekal Malaysia dan serantau dengan 72 komponen dibekalkan 19 vendor Malaysia dan empat  vendor Asean.

Barisan pengeluaran itu juga menggunakan 202 pekerja dengan dengan usia purata hanya 24 tahun, mereka mewakili generasi akan datang yang akan menjadi bakat automotif negara.

“Kualiti adalah keutamaan barisan pemasangan enjin baharu kami. Kami tahu perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Proton mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi kami tidak meninggalkan apa-apa kepada peluang.

“Selain langkah pemantauan kualiti digunakan di barisan pemasangan, kami juga bekerja rapat dengan rakan sejawat di Geely untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha menghasilkan enjin bertaraf dunia,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

PERTAMA KALI GUNA STESEN ANTI-STATIK

Bahagian pengeluaran trenkuasa dilengkapi dengan 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual.

Pemasangan enjin 1.5 TGDi menggunakan etos IR 4.0 dengan tahap automasi tinggi untuk meningkatkan produktiviti. Bahkan, buat pertama kali juga Proton menggunakan stesen anti-statik dan talian pemasangan bergerak.

Stesen anti-statik untuk melepaskan elektrik statik bagi melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi manakala talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar bukan
saja lancar tetapi lebih bersih, tahan lama dan murah dikendalikan berbanding rantai.

Semua pekerja pemasangan menjalani latihan dengan Geely, manakala pembekal mesin  ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin selain teknologi Internet of Things (IOT) dalam bentuk alat pengumpulan data intensif dan analisis.

Selain itu, 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi dipasang pada barisan pengeluaran untuk mengelak kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti dengan keupayaan mengesan defek dengan kadar segera.

Bagi menjamin kualiti enjin, Proton turut melakukan ujian sejuk yang menyediakan alternatif menjimatkan dan fleksibel untuk enjin petrol selain ujian panas.

Ujian sejuk dilakukan apabila motor elektrik digunakan untuk memutarkan aci engkol dengan enjin “sejuk” (tidak berjalan, jadi tiada petrol atau pengudaraan khas diperlukan).

Semasa proses ini, sensor memantau operasi, termasuk tork, sudut aci engkol dan tekanan, untuk memastikan berfungsi dengan betul dalam keadaan meniru fungsi sebenar di lapangan.

Selepas itu ujian helium digunakan bagi mengesan kebocoran. Bagi ujian panas, kakitangan akan melakukan pemeriksaan pada 178 komponen yang mana peringkat ini menguji fungsi penuh enjin sebelum dihantar ke bahagian dyno.

Proton memiliki tiga mesin dyno yang mana salah satunya diletakkan di kemudahan Tanjong Malim. Mesin dyno teknologi Jerman itu melibatkan tujuh bahagian ujian antaranya mampatan silinder, kehilangan kuasa mekanikal dan kecekapan minyak.

Penguji akan melakukan ujian kelajuan enjin 5,500rpm. Selama seminggu ujian dyno itu mampu melengkapkan ujian tiga unit janakuasa. 

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here