Audi RS 3 Sedan kini dibuka tempahan, harga dijangka bermula RM650K

545

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) melancarkan generasi kedua Audi – A3 Sedan ke pasaran Malaysia dengan menggabungkan rekaan menyerlah, teknologi termaju dan menjanjikan pengalaman pemanduan mengujakan.

Kini ia hadir dengan rekaan lebih maskular dan garang, A3 Sedan menampilkan rupa serba baharu. Bahagian hadapan didominasi oleh Singleframe dengan gril bercorak sarang lebah (honeycomb) yang diserlahkan bersama sepasang lampu utama. 

Garis badan A3 Sedan diteruskan hingga ke bampar belakang yang membuatkannya kelihatan lebih panjang dan elegan. Sementara garis bumbung yang melandai dari tiang B membuatkannya kelihatan seperti sebuah coupé.



Rekaan badan yang kemas dipadankan dengan bahagian belakang sedikit tinggi dan peresap udara besar. Ini menyumbang kepada pekali seretan lebih rendah, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi CO2. 

Menariknya, A3 Sedan hadir dengan corong udara yang boleh dikawal melalui modul kisi-kisi berkuasa elektrik di bahagian belakang Singleframe. Ia berfungsi mengawal aliran udara dengan pintar berdasarkan kepada situasi pemanduan.

Sebagai tambahan, panel pada bahagian bawah kereta, cermin sisi dengan aerodinamik lebih baik dan penyejukan brek aktif berfungsi mengurangkan halangan angin. 

Ruang dalaman lebih luas

Ruang dalaman lebih luas berbanding model terdahulu, menggabungkan aspek kemewahan dan teknologi terkini dengan sempurna. Misalnya dengan kokpit maya Audi, paparan sentuh MMI navigation plus bersaiz 10 inci dan perkhidmatan ketersambungan  Audi connect plus sebagai ciri standard.

Stereng dengan butang pelbagai fungsi yang dibalut kulit dan transmisi S tronic yang mudah dikawal memberi lebih keselesaan kepada pemandu. 

Sistem suspensi A3 Sedan kini menawarkan reaksi lebih pantas dan pemanduan yang tepat. Ia sesuai terutama untuk mereka yang gemar mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. 

Semua ini disumbang oleh sistem pengendalian dinamik berpusat yang memastikan interaksi optimum di antara semua komponen ke transverse dinamik.  

A3 Sedan akan ditawarkan dalam lapan pilihan warna: dua kemasan cat solid, lima warna metalik dan satu warna dengan efek mutiara. 

RS 3: Kini dibuka untuk tempahan 

Kompak dan berkuasa, Audi RS 3 Sedan serba baharu menawarkan kelincahan dan pengendalian dinamik luar biasa dengan kuasa daripada enjin lima silinder yang mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 3.8 saat.

RS 3 hadir dengan badan lebih lebar, sistem ekzos sport RS dan paparan kokpit seperti jentera lumba. Ia memang dihasilkan untuk mereka yang sentiasa mencari keterujaan dalam setiap pemanduan.  

Memegang rekod sebagai sedan kompak paling pantas di litar lumba lagenda Nurburgring Nordschleife di Jerman, RS 3 Sedan kini dibuka untuk pra-tempahan di Malaysia. 

Audi A3 Sedan ditawarkan pada harga bermula RM331,990.00 manakala RS 3 Sedan dijangka dijual di antara  RM650,000 hingga RM750,000. Semua model Audi hadir dengan penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, jaminan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun. 

Tempahan Audi A3 Sedan dan RS 3 boleh dibuat di semua Audi Centres di Setia Alam, Glenmarie dan Juru.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here