Tunjuk slip gaji punca ramai jadi rider

1100

Industri p-hailing kini dilihat berada pada fasa ‘matang’ dan sedang me­ngalami penurunan ekoran timbul pelbagai isu temasuklah lambakan rider, pembayaran upah yang rendah serta persaingan tinggi dalam mendapat pesanan.

Pensyarah Senior Fakulti Ekonomi dan Muamalat Univer­siti Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Noh berkata, industri p-hailing mempunyai sebuah kitaran yang mana ekonomi gig sedang menjadi tumpuan ­utama golongan pencari kerja.



“Apabila ramai yang melibatkan diri, industri ini akan berada pada fasa matang dan sedang mengalami penurunan sehingga menjejaskan pendapatan kumpulan penghantar makanan.

“Beberapa pemain industri baharu iaitu syarikat besar dilaporkan ingin memasuki pasaran Malaysia, tetapi pada masa sama, kita ada lambakan rider,” katanya.

Bagi menjadi seorang penghantar makanan hanya melibatkan kos yang minimum dan faktor ini juga mendorong lambakan penghantar makanan dalam industri ini.

Bagi mengatasi ini, beliau menyarankan agar perkhidmatan penghantar makanan dan barangan digabungkan.

“Langkah ini akan lebih ber­sifat lokalistik dan domestik. Me­reka yang menjadi penghantar juga akan berpeluang mendapat lebih banyak kerja.

“Sebenarnya pemain industri penghantaran makanan melibatkan syarikat besar sangat sedikit dan sebagai alternatif, rider juga boleh bekerja dengan beberapa syarikat pengendali lain untuk menjana pendapatan,” jelasnya.

Penganalisis ekonomi, Dr. Baayah Baba pula melihat isu lambakan penghantar makanan p-hailing adalah satu kebiasaan dalam industri gig.

“Ia disifatkan sebagai per­sa­ingan yang kompetitif dan tidak menjadi satu permasalahan ke­rana pendapatan mereka berdasarkan usaha mereka sendiri.

“Jika permintaan tinggi, maka perkhidmatan untuk rider juga akan meningkat,” katanya.

Akhbar Kosmo sebelum ini melaporkan rata-rata penghantar makanan mengeluh hanya memperoleh RM50 untuk 12 jam bekerja berbanding mencecah RM6,000 ketika Perin­tah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia berpunca kerana pengguna kini lebih suka membeli makanan sendiri berbanding membuat pesanan di platform online selain sikap penyedia makanan yang lambat memproses tempahan menyebabkan ramai rider kena ‘sidai’.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here