NH EV TECH lancar 2 motosikal elektrik: harga bermula RM9,000, sasar 15K unit setahun

1539

Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV TECH), anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad melancarkan dua model motosikal elektrik TAILG EBIXON.

Model berkenaan membabitkan TAILG EBIXON BOLD dan TAILG EBIXON TORQ, masing-masing dalam kategori kegunaan peribadi dan komersial, dipasang di kemudahan pembuatan syarikat di Seri Kembangan, Selangor.

Jentera itu sebenarnya berasal dari China yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan jentera menggunakan tenaga baharu. Sehingga kini, jenama itu berada di tempat ketiga dalam segmen motosikal elektrik di China.



TAILG juga mencatat Rekod Dunia Guinness untuk jarak terjauh dengan skuter elektrik, sekali cas pada Oktober 2020. Ternyata motosikal ini, mempunyai sejarah cukup mengagumkan sebelum ia diperkenalkan di negara kita.

TAILG EBIXON BOLD: Skuter elektrik 

Bagi TAILG EBIXON BOLD, ia kelihatan seperti sebuah skuter yang ditawarkan dengan tiga pilihan warna membabitkan merah, biru dan hitam.

Motosikal elektrik berkenaan memiliki berat 91kg yang menggunakan dua bateri lithium berkapasiti 72V/22AH.

Jentera berkenaan menggunakan motor elektrik yang berkeupayaan menyalurkan output 1,500W dengan tork setinggi 35Nm.

Ia boleh ditunggang sejauh 120km untuk sekali cas penuh dengan kelajuan maksimum hanya 70km/j.  

Padanan rim 13 inci dengan tayar 130/60 untuk hadapan, manakala belakang menggunakan rim 12 inci dibaluti tayar 120/70. Hadapan dan belakang dipadankan brek cakera.

Dari segi untuk mengecas pula, ia mengambil masa antara dua sehingga lapan jam untuk cas penuh dengan waranti 1,000 kitaran mengecas untuk baterinya.

Kemudahan lain yang ada pada TAILG EBIXON BOLD ini, ia dilengkapi dengan ruang besar di bawah pelana, slot USB, meter kluster digital dan penggunaan lampu LED.

Buat masa ini, ia dijual bermula RM9,000.

TAILG EBIXON TORQ: Jentera dua roda komersial

TAILG EBIXON TORQ pula, ia adalah motosikal untuk kegunaan komersial yang mana dengan mempunyai satu tempat duduk sahaja.

Di bahagian belakang dan hadapan mempunyai ruang untuk meletak barang sama ada box dan raga. Jentera seperti ini sebenarnya sudah digunakan secara meluas terutama di negara maju seperti Jepun dan China.

Dari segi prestasi, TAILG EBIXON TORQ lebih baik apabila boleh ditunggang sejauh 200km dengan kelajuan maksimum 90km/j. Ia menggunakan dua bateri lithium berkapasiti 72V/50AH.

Untuk mengecas, ia mengambil masa antara dua sehingga lapan jam untuk cas penuh dengan waranti 1,000 kitaran mengecas untuk baterinya.

Berbeza dengan TAILG EBIXON BOLD, ia menggunakan rim 12 inci untuk depan dan belakang yang masing-masing dibaluti tayar 90/90 serta 110/70 dengan penggunaan brek cakera.

Selain itu, ia mempunyai ciri sama dengan dengan AILG EBIXON BOLD iaitu ruang besar di bawah pelana, slot USB, meter kluster digital dan penggunaan lampu LED.

Harganya ia dijual bermula RM14,000.

Sasar 15,000 unit setahun

Sementara itu, Pengarah Urusan NH EV TECH, Khoo Chee Kong berkata, pihaknya menyasarkan 15,000 unit TAILG EBIXON setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang meliputi rantau Asia Pasifik.

“Kami sedang berunding dengan beberapa organisasi, GLC, agensi kerajaan dan peniaga untuk mempromosikan, memasarkan dan mengedarkan motosikal EV kami di rantau ini.

“Model perniagaan kami merangkumi modul jualan langsung dan sewa milik kepada perniagaan serta pengguna,” katanya.

Sempena pelancaran dua motosikal TAILG EBIXON itu, Ni Hsin juga akan menandatangani Memorandum Perjanjian dengan beberapa organisasi yang dihormati dan mempunyai hubungan baik, antaranya MIMOS Berhad, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), HAI-O Enterprise Bhd dan PT Winn Pratama Indonesia bagi membantu pemasaran, promosi dan pengedaran motosikal EV itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here