Utama Berita Automotif Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak libat peruntukan kerajaan

Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak libat peruntukan kerajaan

607
Projek mega Kedah Aerotropolis, yang merangkumi beberapa komponen termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), merupakan projek berimpak tinggi yang dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.
 
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata apa yang diperlukan kerajaan negeri ialah kerjasama daripada agensi Persekutuan untuk memudah cara sebarang urusan berkaitan bidang kuasa kerajaan Persekutuan seperti dalam urusan dengan Kementerian Pengangkutan.
 
“Dalam kedudukan kewangan yang kurang memberangsangkan, kerajaan negeri Kedah memilih untuk melaksanakan projek berkenaan secara pelaburan swasta (PFI) sepenuhnya.
 
“Secara umum, projek ini adalah katalis yang berpotensi tinggi untuk menarik kemasukan pelaburan asing melalui pembukaan kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan,” katanya.
 
Pembentangan Belanjawan (2023) lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan membesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, Selangor, namun bercadang untuk menghentikan pembinaan KXP.
 
Anwar berkata pembesaran dua lapangan terbang itu dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan pembinaan KXP yang dianggarkan berbelanja RM7 bilion, sekali gus tidak boleh dipertimbangkan dalam keadaan sekarang.
 
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, dalam konteks LTAPP, KXP tidak akan menjadi pesaing kepada lapangan terbang itu kerana KXP akan beroperasi sebagai hab kargo manakala segmen penumpang belum dipertimbangkan.
 
“Justeru, LTAPP boleh terus memberi fokus kepada perkhidmatan yang ditawarkan dan menerima bahawa projek KXP adalah untuk menjadi pelengkap, bukannya pesaing kepada lapangan terbang itu.
 
“Saya percaya Perdana Menteri setakat ini belum mendapat gambaran penuh mengenai projek KXP dan usaha untuk membuat pembentangan projek ini di hadapan beliau akan dilakukan,” katanya.
 
Menteri Besar Kedah itu mengharapkan suatu titik temu akan dapat dicapai bagi merealisasikan usaha itu demi kepentingan dan manfaat rakyat Kedah khususnya dan seluruh negara amnya.
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here