Ahli kongsi gelap Geng 08 dan rakan dicekup samun pemandu teksi

720

Seorang lelaki yang disyaki ahli kumpulan kongsi gelap bersama rakannya ditahan selepas menyamun seorang pemandu teksi di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong di Pengerang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata pihak polis menerima satu laporan polis berkaitan kejadian samun ke atas seorang pemandu teksi berusia 70-an.



“Kejadian berlaku pada jam 3.50 petang yang mana mangsa membawa dua penumpang warga tempatan dari Gelang Patah menuju ke Pengerang, Johor.

“Semasa tiba di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong, pada jam 4.30 petang, suspek bertindak mengacukan senjata tajam di belakang pinggang mangsa dan mengarahkan dia menyerahkan barang berharga lalu melarikan diri ke kawasan semak berdekatan,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua unit telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM400 dan seutas jam tangan jenama Casio yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM800 dilarikan.

Dalam tempoh kurang daripada 4 jam selepas kejadian, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi berjaya menangkap suspek yang berumur lingkungan 30-an di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan kedua suspek mendapati terdapat tatoo
berbentuk labah-labah dan lipan pada bahagian dada kiri serta lengan kanan salah seorang
suspek dan disyaki merupakan ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08,” jelasnya.

Hasil semakan rekod lampau mendapati masing-masing memiliki rekod jenayah dan dadah serta salah seorang suspek masih dikehendaki dalam dua kes jenayah yang dilaporkan di Serendah pada tahun 2022 dan Rawang, Selangor pada 2010.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here