Top Secret, Spoon, HKS dan Greddy serikan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023

765

Penala terunggul membabitkan Top Secret, Spoon, HKS dan Greddy antara lain akan menyerikan penganjuran sulung Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang diadakan 9 sehingga 11 Jun 2023 di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pameran ini adalah pertunjukan satelit bersandarkan pameran kereta terkemuka di Jepun. Ia meliputi ruang pameran berkeluasan 130,000 kaki persegi dan dijangka menarik lebih 150,000 pengunjung dari dalam Malaysia dan rantau ASEAN. 

Pameran in dianjurkan bersama oleh MUSE Group Asia dan Element X Strategies, dengan gandingan San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon.



Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, Riduwan Matni berkata, sejak MUSE Group Asia menganjurkan pameran Tokyo Auto Salon yang pertama di luar Jepun iaitu di Singapura pada 2013, pihaknya berhasrat untuk membawa pameran berprestij ini ke Malaysia.

“Selepas perancangan selama 3 tahun. Akhirnya kami dengan sukacitanya mengumumkan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur akan menjadi realiti,” katanya pada majlis pelancaran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023.

Sementara itu, Ketua Pengarah Persekutuan Tokyo Auto Salon, Junichi Fukui berkata keputusan untuk membawa Tokyo Auto Salon ke luar Jepun adalah mendapatkan pendedahan yang lebih meluas.

“Pameran di Kuala Lumpur juga akan mengetengahkan satu persembahan yang lebih bertaraf antarabangsa dengan paparan kenderaan tempatan yang diubah suai serta pameran yang menampilkan aksesori, barangan automotif berprestasi tinggi dan pelbagai perkhidmatan dari Malaysia dan rantau ASEAN. 

“Cinta terhadap kereta JDM berkembang pesat di seluruh dunia dan Tokyo Auto Salon telah berada di pusat fenomena ini. Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dijangka dapat menjadi hab strategik untuk peminat-peminat dan ahli-ahli kami di rantau ASEAN,” katanya.

40 Tahun Tokyo Auto Salon

Dalam 40 tahun penganjuran Tokyo Auto Salon, ia berkembang menjadi satu pertunjukan antarabangsa terulung bagi peminat dan peserta pameran. 

Pada asalnya, pameran itu bermula untuk meraikan paparan inovatif dan kreatif bagi kereta keluaran Jepun. Namun, ia berkembang untuk merangkumi semua jenama dan jenis kenderaan.

Pertunjukan itu juga diktiraf sebagai platform berprestij oleh pengeluar kenderaan, syarikat aksesori dan alat ganti berprestasi tinggi.

Sementara itu, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur menawarkan peluang menarik baik pemain automotif besar dan kecil di Malaysia dan rantau ASEAN untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan terbaharu mereka dengan saiz gerai yang berbeza untuk disewa. 

Lebih dari 50 peratus ruang pameran sudah pun disi dan antara peserta pameran yang disahkan hadir  membabitkan:

  • Red Springs Sdn Bhd yang akan mengendalikan pameran 4X4
  • Hot Wheels
  • EMMA Malaysia
  • Soon Soon Garage
  • Option 4 Wheel dari Thailand
  • Adtory-Minshing Brakes Automotives dari China

Dijangka pengasas Top Secret, Smokey Nagata atau nama sebenarnya Kazuhiko Nagata bakal turut hadir di pameran berkenaan.

Selain peserta pameran tempatan dan antarabangsa, ia juga akan menampilkan kehadiran ratu perlumbaan dari Jepun. Beberapa persembahan dan bengkel juga  diatur sempena pameran itu.

Tiket boleh dibeli laman web www.tokyoautosalonkl.com. Tiket berharga RM60 dan RM28 sehari bagi dewasa dan kanak-kanak dan mereka yang mengambil kesempatan untuk membeli awal (18-30 Mac) akan menikmati diskaun atau potongan sebanyak 30% iaitu RM40 dan RM18 sehari bagi dewasa dan kanak-kanak.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here