Jalan lama ‘timbul’ selepas 30 tahun tenggelam di Padang Besar

954

Jalan lama yang tenggelam hampir 30 tahun lalu akibat pembinaan Empangan Tasik Timah Tasoh, dekat sini ‘muncul’ kembali selepas air menyusut disebabkan cuaca panas.

Jalan sejauh kira-kira 1km itu muncul di tengah laluan Tasik Timah Tasoh menarik perhatian orang ramai terutamanya pemancing. 



Seorang penduduk, Mohd Fazli Osman, 38, berkata, kawasan tersebut menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat sendiri jalan lama tersebut yang masih dalam keadaan baik dan ada yang mengambil kesempatan berjalan serta merakamkan situasi itu.
 

Menurutnya, fenomena sama pernah dilihatnya berlaku pada tahun 2016 dan 2020 disebabkan keadaan musim panas yang melanda negara ketika itu.

“Saya selalu datang ke sini dan sudah biasa kerana perkara sama pernah terjadi pada tahun 2020. Betul-betul surut adalah pada 2016 sampai nampak darat, jadi saya sudah tengok tiga kali fenomena ini.

“Tapi memang ramai orang ramai yang datang dan terkejut dengan keadaan ini kerana tidak biasa.

“Pada tahun 2016 memang nampak darat dan kampung yang lama di kawasan ini. Dasar tasik ini memang asal kawasan kampung dan ditenggelamkan bagi mewujudkan sebuah empangan seperti yang ada seperti hari ini,” katanya.

Juruteknik sebuah syarikat penyedia kemudahan internet berkata, masjid, rumah, sekolah dan tanah perkuburan di kampung berkenaan turut ditenggelamkan bagi menyiapkan empangan tersebut bermula pada 1987 dan siap sepenuhnya pada 1992.

Sementara itu, bagi Mohd Ajmal Azlan Shah, 29, yang yang bekerja di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar pula mengakui teruja dengan fenomena berkenaan kerana jarang berlaku.

Dia menjelaskan,maklum dengan sejarah pembinaan Tasik Timah Tasoh yang menelan belanja RM77 juta itu apabila hampir 400 peserta dari kampung di kawasan tasik itu dipindahkan ke Felcra Lubuk Sireh.

“Saya terkejut baru-baru ini apabila lalu di kawasan ini nampak jalan lama timbul. Saya tidak pernah tengok keadaan ini kerana sebelum ini selalu datang memancing dan kawasan sekitar dipenuhi air,” kongsinya.

Berdasarkan rekod, Empangan Timah Tasoh dibina di bawah peruntukan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Malaysia (IADP) bagi bekalan air domestik atau perindustrian termasuk memenuhi keperluan pengairan 2,466 hektar tanah sawah penanaman padi dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

Kawasan berkeluasan 20 kilometer persegi tersebut mampu menakung air sebanyak 40 juta meter padu dan berfungsi sebagai sumber bekalan air domestik, pertanian serta kawalan banjir.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here