Ketua Polis Daerah disyaki terima rasuah dibawa ke mahkamah

565

Seorang Ketua Polis Daerah di Pahang yang ditahan susulan kes rasuah dianggar lebih RM1 juta semalam, dibebaskan dengan jaminan bon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Sumber SPRM berkata, tindakan itu menyusul selepas permohonan untuk mendapatkan perintah tahanan ke atas pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ditolak mahkamah hari ini.

Keputusan dibuat Majistret Tengku Eliana Tuan Kamarulzaman selepas mendengar penghujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif dan peguam mewakili suspek, Datuk Bob Arumugam.



Bob Arumugam ketika ditemui berkata, beliau menghujahkan bahawa SPRM sepatutnya menggunakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 yang memberi kuasa khusus kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Akta SPRM juga memberi kuasa untuk SPRM dalam situasi penyiasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

“Tetapi (dalam kes ini) SPRM mengemukakan permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

SPRM melalui kenyataan semalam mengesahkan seorang Ketua Polis Daerah di Pahang ditahan kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sepanjang tempoh antara 2017 hingga 2022.

Pegawai kanan polis itu disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Amin mengesahkan tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009,” katanya

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here