Moto Guzzi V100 Mandello: Motosikal pertama di dunia ada ‘Adaptive Aerodynamics’, harga bermula RM99K

281

Didi Group, pengedar rasmi Moto Guzzi di Malaysia memperkenalkan Moto Guzzi V100 Mandello baharu yang padat dengan teknologi terkini untuk pasaran tempatan.

Lebih menariknya, ini juga adalah motosikal pertama di dunia yang menawarkan ‘adaptive aerodynamics’. Selain itu, ia Moto Guzzi pertama dilengkapi dengan penggantungan separa aktif, platform inersia, ABS selekoh dan ‘quick shift’.

Model itu juga turut dilengkapi dengan enjin berkembar dengan blok kompak baharu yang menawarkan prestasi menarik dan watak Moto Guzzi dengan konsep baharu.



Moto Guzzi V100 Mandello adalah motosikal pertama dalam dunia yang membawakan sistem aerodinamik adaptif, di mana terdapat komponen penampan angin pada bahagian sisi tangki yang akan terbuka bergantung kepada kelajuan (antara 30-95 km/j) dan mod tunggangan.

Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Moto Guzzi V100 Mandello dan Moto Guzzi V100 Mandello S yang masing-masing dijual bermula RM99,900 serta RM117, 900.

Beza antara kedu-dua varian itu, V100 Mandello S menerima fork hadapan Ohlins Smart EC 2.0 USD 43 mm boleh laras, penyerap hentak tunggal Ohlins Smart EC 2.0 boleh laras, serta Quick Shifter.

Jentera sports tourer itu dikuasakan oleh nadi V-Twin bersesaran 1,042 cc, menghasilkan 115 hp @ 8,700 rpm dan daya kilas 105 Nm @ 6,750 rpm, dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan dan sistem pacuan Cardan.

Enjin itu hadir piawaian emisi Euro 5 dengan tahap penggunaan bahan api serendah 4.7 liter/100 km. Tangki bahan apinya mencecah 17 liter.

Kuasa membrek jentera itu dipadankan dengan sistem brek Brembo yang terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor berkembar 320 mm di depan, diikuti angkup brek dua omboh dan rotor 280 mm tunggal di bahagian belakang.

Ia menggunakan rim aluminium bersaiz 17 inci, dengan balutan tayar Pirelli Angel GT II bersaiz 120/70 di depan dan 190/55 di bahagian belakang.

Ciri lain yang dibawakan termasuklah lampu utama LED beserta lampu nyalaan siang DRL LED, skrin penghadang angin boleh laras, dan skrin TFT berwarna penuh bersaiz lima inci.

Ia dipadankan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi, dua mod pemetaan (Comfort, Dynamic), empat mod tunggangan (Tour, Rain, Road, Sport), kawalan jelajah, serta empat tahap kawalan cengkaman.

Terdapat pilihan warna Bianco Polare atau Rosso Magma, selain pelbagai jenis aksesori yang boleh dipadankan termasuklah boks atas dan kotak pannier sisi, skrin penghadang angin yang lebih tinggi, pelindung enjin, port USB, sistem infotainmen Moto Guzzi MIA, dan sistem anti-pencuri.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here