Impian tunai umrah tercapai, Zulkepli rentas 18,000km tunggang Yamaha FZ150 ke Mekah

370

Setelah mengharungi perjalanan sejauh 18,000km selama 108 hari menunggang Yamaha FZ150, akhirnya impian Zulkepli Mo’minin menunaikan umrah di Mekah tercapai.

Zulkepli, 55, selamat tiba di Tanah Suci pada 23 Oktober (Isnin) lalu selepas memulakan tunggangan solo pada 8 Julai lalu dari Gombak, Selangor.



Pengusaha tasbih itu merentasi 11 negara antaranya Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.

Berkongsi pengalamannya, antara peristiwa tidak dapat dilupakan ialah ketika terkandas di Iran selama sebulan lebih berbanding perancangan asal 11 hari kerana masalah dokumentasi.

Beliau menghadapi kesukaran untuk memasuki Iraq di Shalamche meskipun hanya tinggal 100km untuk sampai di Safwan iaitu sempadan Iraq-Kuwait.

“Sebelum memulakan ekspedisi ini, mengikut sedikit info yang saya dapat daripada pengembara yang pernah merentasi Iraq, jika sudah ada transit visa dan tidak bermalam di negara itu, tidak akan ada masalah, boleh rentas sahaja.

“Tapi, sebaliknya berlaku di pintu masuk Iran-Iraq, Shalamche.. pegawai Iraq tidak membenarkan saya masuk.

“Jadi saya terpaksa berpatah ke bandar Khorramshahr yang jaraknya hanya 20km dari Shalamche untuk bermalam dan memikirkan jalan penyelesaian seterusnya,” katanya.

Bagi menyelesaikan masalah itu, beliau terpaksa meninggalkan motosikalnya sementara waktu dan mengambil penerbangan dari bandar Ahvaz ke Tehran yang jaraknya 900km, bagi memohon visa secara fizikal daripada Kedutaan Iraq.

“Dipendekkan cerita, Kedutaan Iraq akhirnya meluluskan permohonan visa saya selepas 15 hari berada di Tehran…

“Walaupun pada satu ketika saya sudah buntu dan hampir putus asa memikirkan tentang birokrasi pegawai Iraq dan mahu sahaja ambil tiket penerbangan dari Tehran ke Riyadh, Arab Saudi,” katanya.

Tambah bapa kepada lima anak itu, dia turut berdepan cabaran lain iaitu terpaksa melalui laluan berbatu di salah satu pergunungan di Kyrgyzstan sejauh 450km.

“Walaupun pelbagai ujian dan kesusahan terpaksa dilalui sepanjang ekspedisi ini, saya terima sahaja kerana itu semua ketentuan Allah dan ujian itu adalah nikmat untuk saya rasai,” katanya.

Zulkepli akan berada di Mekah dan Madinah untuk beberapa hari lagi sebelum mengambil penerbangan pulang ke tanah air manakala motosikalnya akan dihantar dengan kargo laut.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here