Baling sos cili, mekanik kena denda RM3,000

237

Mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan khianat melempar sos cili ke perkarangan rumah seorang lelaki iaitu peminjam wang, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Kok Kar Wei, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Menurut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas dengan sengaja melakukan khianat iaitu melemparkan plastik mengandungi cecair cili merah ke rumah seorang lelaki berusia 55 tahun.



Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam Amirul Hakim Ahmad Mahazir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum dengan mengambil kira kerjasama tertuduh yang datang dari Johor Bharu, Johor dan menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai selain menanggung isteri serta seorang anak berusia dua tahun.

Dalam prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa itu, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan boleh dipenjarakan selama lima bulan jika gagal membayar denda.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman wang tanpa lesen mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengganggu seorang peminjam wang dan ahli keluarganya dengan menyimbah sos merah di perkarangan rumah dan pagar mangsa serta memberikan notis ugutan.

Kedua-dua pertuduhan berlaku di sebuah rumah di Laman Dahlia Nilai Impian, Nilai kira-kira jam 9 malam 30 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dengan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Hakim Mazni Nawi menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Prosiding di Mahkamah Sesyen dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Kalaivaanan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here