Berisiko kemalangan, had laju lebuhraya Thailand 90kmj berbeza dengan Malaysia

163

Keseronokan rakyat Malaysia bercuti menggunakan kenderaan sendiri ke Thailand boleh bertukar tragedi jika tidak memahami undang-undang serta peraturan jalan raya di negara jiran itu. 

Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi mendedahkan ramai rakyat Malaysia berisiko terlibat dalam kemalangan kerana kebanyakan mereka suka berkonvoi apabila melancong di sini.



Beliau berkata, lebuhraya di negara ini yang luas dan lurus menyebabkan ada dalam kalangan rakyat Malaysia memilih untuk memandu secara laju.

Had laju yang ditetapkan kerajaan Thailand untuk kenderaan dan motosikal di kawasan lebuhraya ialah 90kmj berbeza dengan Malaysia iaitu 110kmj.

“Situasi itu boleh mengundang berlakunya kemalangan jalan raya jika tidak berhati-hati,” katanya. 

Tambah beliau, lebuhraya di Thailand memiliki banyak laluan untuk membuat pusingan U. Pada masa sama banyak motosikal yang ditunggang oleh rakyat negara ini akan melintas dan membuat pusingan-U pada kawasan tersebut sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

Ahmad Fahmi memberitahu, justeru rakyat Malaysia disaran memandu secara berhemah bagi mengelakkan kemalangan.
 

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan warga Malaysia supaya mengembalikan semula borang deklarasi kenderaan kepada Jabatan Kastam Thailand jika menggunakan kereta sendiri sebelum keluar dari negara berkenaan.

“Hari ini saya dimaklumkan, ramai rakyat Malaysia terlupa menyerahkan semula borang deklarasi kenderaan mereka pada Kastam Thailand. Pada masa ada, ada juga tersalah kaunter dan menyerahkan kepada pihak Imigresen Thailand.

“Jika situasi itu berlaku, Kastam Thailand menganggap kita tinggal lebih masa apabila tiada rekod menyatakan kita sudah meninggalkan negara itu,” katanya.

Ahmad Fahmi memberitahu, kesilapan menyerahkan borang deklarasi itu kepada kaunter Imigresen Thailand boleh menyebabkan data rakyat Malaysia meninggalkan negara ini tiada.

“Keadaan itu menyebabkan, rakyat Malaysia boleh didenda 1,000 Thai Bhat (RM132.70) sehari bermula pada tarikh luput penyerahan borang deklarasi kenderaan,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here