Polis kesan pemandu buat pusingan ‘U’ lawan arus LTU Raub Bypass

516

Polis sedang mengesan individu yang memandu secara melawan arus selepas membuat pusingan U bagi mengelak kesesakan lalulintas di jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub Bypass, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan pemilik kenderaan yang merakam video berkenaan.

“Bagaimanapun, selepas pemerhatian dari video tersebut, terdapat beberapa buah kenderaan yang dapat dikesan selepas melakukan pemeriksaan melalui aplikasi Mysikap JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) bagi membantu siasatan.



“Manakala semua kenderaan lain yang terlibat dalam video tersebut termasuk pemilik video sedang dikesan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada Sabtu, tular rakaman video memaparkan segelintir pengguna kenderaan yang selamba membuat pusingan U di LTU Raub Bypass.

Menerusi video dimuat naik pada TikTok, seorang pengguna merakam pengalaman menggunakan laluan lebuh raya baharu itu. Namun tidak lama kemudian, berlaku kesesakan di depan ekoran pertambahan kenderaan.

Dalam video itu, terdapat kenderaan yang bertindak melakukan pusingan U termasuk perakam video tersebut, sedangkan laluan itu adalah sehala sekali gus tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Mohd Shahril berkata, tindakan pemandu-pemandu yang membuat pusingan U adalah tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Jelasnya, perbuatan tersebut telah menyebabkan kegusaran dan boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain

Mohd Shahril memaklumkan, siasatan awal mendapati, sistem jalan dua lorong dua hala dan terdapat susur masuk di LTU Raub Bypass di sebelah kiri jalan.

Jelasnya, terdapat batu konkrit tengah jalan sebagai pembahagi jalan.

“Tahap pencahayaan baik waktu siang dan cuaca baik semasa kejadian berlaku,” katanya.

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here