Op Aidilfitri : 800 kenderaan pandu lebih 170kmj

664

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 800 kenderaan dipandu melebihi 170kmj sepanjang enam hari Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri bermula 1 April lalu.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan tersebut dikesan melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).



Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya turut mengesan sebanyak 16,142 kes memandu melebihi had laju yang mana 95 peratus memandu dalam kelajuan antara 130- 170kmj.

“Pemanduan seperti ini merupakan satu risiko sangat tinggi yang boleh menyebabkan kemalangan dan kemalangan maut. Kita boleh lihat bahawa sikap pemanduan laju ini masih belum dapat dikurangkan.

“Memandu laju ini merupakan kesalahan yang serius jadi saya ingin menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi peraturan jalan raya dan mematuhi had laju yang ditetapkan.

“Untuk jalan-jalan persekutuan, had laju telah diturunkan daripada 90kmj kepada 80kmj manakala had laju lebuh raya kekal,” katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 1 hingga 6 April, JPJ telah memeriksa sebanyak 100,684 motosikal dan sebanyak 13,128 daripadanya telah diambil tindakan.

Jelasnya, sejumlah 26,313 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan termasuk 1,464 motosikal di sita atas kesalahan ekstrem.

“Antara kesalahan ekstrem ini, ada yang membuka brek mereka semata-mata untuk membolehkan motosikal mereka mendapat kelajuan maksimum.

“Pemeriksaan terhadap motosikal ini dibuat kerana mereka penyumbang sebanyak 70 peratus bagi kemalangan maut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JPJ meneruskan Operasi Khas Motosikal di sekitar Ipoh pada Ahad melibatkan kekuatan seramai 50 pegawai dan anggota.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here