Subsidi bersasar RON 95 laksana pertengahan 2025

90

Kerajaan dijangka melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini dengan satu mekanisme terbaik bakal dikenalpasti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan kini dalam fasa akhir merangka sistem penyasaran yang adil dan berkesan bagi memastikan pelaksanaan mencapai objektif ditetapkan.

Honda
Honda

Jelasnya, kerajaan memberi jaminan penyasaran subsidi ini tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara tidak terkawal.

“Mekanisme yang digunakan ketika kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel sebelum ini sedang ditambah baik. KPDN kini dalam usaha memperkemaskan sistem bagi memastikan kenderaan komersial yang layak menerima kuota petrol bersubsidi.

“Pada masa ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan kad fleet bersubsidi sedang dikenalpasti menerusi perbincangan antara KPDN, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pengangkutan, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Khamis.

Armizan menegaskan petrol RON97 tidak termasuk dalam penyasaran subsidi kerana bahan api tersebut telah diapungkan sejak Jun 2018.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemberian petrol bersubsidi kepada kumpulan sasar yang tepat mampu mengekalkan kos perkhidmatan serta penghantaran barangan keperluan rakyat, sekali gus mengelakkan peningkatan kos sara hidup.

Dalam usaha membendung manipulasi harga barang, KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018.

“Melalui peraturan ini, kerajaan akan melaksanakan Ops Kesan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah akibat penyasaran subsidi,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here