
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak meminta pengguna jalan raya menyalurkan maklumat mengenai kenderaan perdagangan yang dipandu secara bahaya atau berterusan di lorong kanan, bagi memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan.
Pengarahnya JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, maklumat tersebut boleh dibuat dengan merakam video atau gambar dengan telefon bimbit selain mengandungi butiran seperti tarikh, masa dan tempat kesalahan itu dilakukan.
“Saya memang mengalu-alukan semua pengguna jalan raya terutama penumpang kenderaan merakam kesalahan yang dilakukan oleh pemandu kenderaan perdagangan yang memandu secara berbahaya dan berterusan berada di lorong kanan lebuh raya.
“Maklumat itu perlu ada tarikh, masa dan kilometer berapa supaya senang untuk pihak kami membuat aduan seterusnya menjalankan siasatan tentang aduan tersebut,” katanya pada sidang media sempena Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025.
Beliau berkata, JPJ Perak menggerakkan 286 anggota penguat kuasa yang memfokuskan kesalahan berjadual bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian melibatkan pengguna jalan raya dalam Ops HRA 2025.
Mohammad Yusoff berkata, Ops HRA 2025 berkenaan akan berlangsung 14 hari (sebelum hari raya) bermula 24 hingga 30 Mac dan (selepas hari raya) 2 hingga 8 April.
“Kempen dan Ops HRA 2025 yang diadakan ini berikutan peningkatan pergerakan kenderaan yang tinggi dan menyebabkan aliran trafik menjadi sesak serta perlahan kerana perjalanan pulang warga kota ke kampung halaman masing-masing.
“Dijangka 2.1 juta kenderaan akan memasuki Perak dan menggunakan lebuh raya serta jalan Persekutuan.
“Ops HRA 2025 juga memfokuskan kepada kenderaan perdagangan sepenuhnya untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya dengan cara meningkatkan penguatkuasaan dan audit pematuhan undang-undang serta peraturan sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) di Menora mencatatkan 22,220 saman bagi arah utara manakala 13,604 saman arah selatan sepanjang Januari hingga Februari lalu.