
Selain daripada hot hatch Toyota GR Corolla yang cukup sporti itu, terdapat juga pilihan hatchback sporti Corolla Sport dengan harga yang lebih mampu milik.
Di pasaran Amerika Syarikat, Toyota melancarkan model edisi istimewa Corolla Hatchback FX Edition.
Model ini membawakan inspirasi daripada Corolla FX16 yang diproduksikan antara tahun 1987 hingga 1988.
Antara ciri yang wujud termasuklah spoiler belakang, lencana warisan, rim putih berkilat saiz 18 inci serta pilihan warna baharu termasuklah Inferno Orange, Ice Cap White atau Blue Crush.
Kabin Corolla FX Edition ini menampilkan skrin sentuh lapan inci, skrin kluster digital tujuh inci, dan tempat duduk Sport Touring dengan kemasan jahitan warna jingga dan suede.
Kemasan jahitan yang serupa juga boleh didapati pada panel pintu, papan pemuka, serta roda stereng.
Tiada perubahan dari segi kuasa, bermakna anda akan mendapat sebuah Corolla standard dengan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi menghasilkan 169 hp.
Toyota Corolla Hatchback FX Edition bakal memasuki pusat pameran di Amerika Syarikat pada musim luruh ini.