
UMW Toyota Motor (UMWT) terus melakar kejayaan yang meyakinkan pada April lalu dengan mencatat jualan sebanyak 7,932 unit, sekali gus menjadikan jualan terkumpul setakat tahun ini kepada 27,876 unit.
Pencapaian itu mengukuhkan lagi hubungan erat UMWT dengan rakyat Malaysia berlandaskan ikatan yang dibina atas asas kepercayaan, kualiti dan usaha bersama ke arah kemajuan menerusi mobiliti.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, pihaknya tidak hanya menghasilkan kenderaan, tetapi menggerakkan aspirasi dan harapan bermakna, ke arah masa depan yang lebih lestari.
“Dengan berpaksikan strategi Multipathway, kami menawarkan pelbagai pilihan elektrifikasi yang membolehkan pengguna membuat pilihan yang lebih hijau, tanpa melupakan prestasi, keselamatan atau keseronokan pemanduan.
“Inilah janji kami untuk menjadi rakan mobiliti yang memperkasa rakyat Malaysia, membina dunia yang lebih bersih, lebih pintar dan lebih terhubung,” katanya.
Memacu Masa Depan Lebih Lestari di Malaysia Autoshow 2025
Malah, komitmen UMW Toyota Motor terhadap kelestarian dan inovasi diterjemahkan secara nyata di pentas berprestij Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung pada 9 sehingga 15 Mei ini di MAEPS Serdang, Selangor.
Di situlah aspirasi dan teknologi bersatu di mana UMWT mempamerkan rangkaian inovasi terbaharu dalam dunia mobiliti elektrik hibrid.
Pengunjung boleh menyaksikan barisan model Elektrik Hibrid Toyota membabitkan Vellfire HEV, Corolla Cross HEV, Camry HEV, serta Mirai FCEV.
Namun, pameran itu bukan sekadar menampilkan kecanggihan teknologi, ia adalah manifestasi kepercayaan Toyota bahawa laluan ke arah mobiliti mampan harus dapat diakses oleh semua, tanpa mengetepikan keselesaan, keselamatan atau gaya hidup.
Promosi Mei: Pengembaraan Tanpa Batas
Sementara itu, UMW Toyota Motor (UMWT) mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk merebut peluang keemasan memiliki kenderaan Toyota menerusi promosi eksklusif sepanjang Mei ini merangkumi:
• Pakej pembiayaan fleksibel dari serendah RM658/sebulan
• Penyelenggaraan mampu milik melalui program Toyota Service Savers, bermula dari hanya RM33/sebulan.
Keterangan lanjut, boleh melayari www.toyota.com.my.