
Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar besi pengadang jalan yang tercabut akibat tindakan berbahaya pemandu kereta mewah di Kilometer 0.6, Lebuhraya Link Kedua di Iskandar Puteri, pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kiri.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Maserati berwarna merah yang dipandu seorang lelaki warga Singapura membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Tindakan itu menyebabkan kenderaan suspek melanggar pembahagi jalan dan besi pengadang tercabut serta memasuki laluan bertentangan.
“Mangsa yang merupakan lelaki tempatan datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar besi berkenaan sebelum tercampak ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, kotak simpanan motosikal mangsa turut tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar dua motosikal lain.
Bagaimanapun, kedua-dua penunggang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, insiden itu turut mencetuskan kekecohan apabila pemandu Maserati terbabit diserang dan dipukul menggunakan topi keledar oleh pengguna jalan raya lain.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.