Syarikat penerbangan Amerika berdepan risiko lintasi ruang udara Asia Barat

137

Sebuah organisasi yang memantau risiko penerbangan memberi amaran bahawa serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas tapak nuklear Iran boleh meningkatkan ancaman terhadap pengendali AS di rantau itu, ketika beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ‘ke dan dari’ Dubai serta Doha.

Syarikat penerbangan terus menghindari kawasan besar di Asia Barat disebabkan serang balas peluru berpandu yang berterusan antara Israel dan Iran, yang menjadi satu lagi gangguan besar kepada perjalanan di rantau itu.

Singapore Airlines memaklumkan telah membatalkan penerbangan berjadual dari Singapura ke Dubai selepas menjalankan penilaian keselamatan, manakala British Airways (BA) membatalkan penerbangan ke dan dari Dubai dan Doha.

Namun, selepas serangan peluru berpandu oleh Iran pada awal pagi semalam, Israel membuka semula ruang udara selama enam jam untuk membawa pulang rakyatnya yang terkandas di luar negara sejak konflik dengan Iran bermula pada 13 Jun.

Safe Airspace, sebuah laman keahlian yang dikendalikan oleh OPSGROUP, berkata bahawa serangan AS ke atas Iran mungkin meningkatkan risiko terhadap pengendali AS di rantau itu.

“Walaupun tiada ancaman khusus dibuat terhadap penerbangan awam, Iran sebelum ini telah memberi amaran bahawa ia akan membalas dengan menyerang kepentingan ketenteraan AS di Asia Barat – sama ada secara langsung atau melalui proksi seperti Hezbollah,” kata Safe Airspace.

Sementara itu, laman pengesan penerbangan FlightRadar24 berkata, syarikat penerbangan masih mengekalkan lencongan penerbangan di sekitar rantau tersebut.

Laman itu menunjukkan syarikat penerbangan tidak melalui ruang udara Iran, Iraq, Syria dan Israel.

Mereka memilih laluan lain seperti utara melalui Laut Kaspia atau selatan melalui Mesir dan Arab Saudi, walaupun ini menyebabkan peningkatan kos bahan api, kos kru dan masa penerbangan yang lebih lama.

Selain melencongkan penerbangan, syarikat penerbangan juga bimbang tentang kemungkinan kenaikan harga minyak susulan serangan AS, yang akan meningkatkan kos bahan api jet.

Beberapa hari sebelum serangan AS, American Airlines menggantung penerbangan ke Qatar dan United Airlines turut melakukan perkara sama bagi penerbangan ke Dubai.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here