Setel dan TNG Digital memperkenalkan bayar isi minyak melalui TNG eWallet di stesen PETRONAS

68

Setel Ventures Sdn Bhd (Setel) memeterai kerjasama strategik bersama TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) bagi membolehkan pengisian dan pembayaran bahan api dilakukan terus di pam menggunakan TNG eWallet, yang kini tersedia di lebih daripada 1,000 stesen minyak PETRONAS di seluruh negara.

Integrasi itu menyatukan teknologi eksklusif ‘pam dan bayar’ milik Setel dengan satu daripada dompet digital paling popular di Malaysia.

Kerjasama berkenaan dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU), dan bakal akan memudahkan pengguna mengisi minyak tanpa perlu meninggalkan kenderaan atau memuat turun aplikasi tambahan. 

Ciri baharu itu boleh diakses melalui program mini ‘PETRONAS via Setel’ yang tersedia dalam aplikasi TNG eWallet. 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, perkongsian itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluaskan ekosistem Setel melalui integrasi strategik yang memberikan impak. 

Menurutnya, pengisian bahan api adalah antara urusniaga paling kerap dilakukan dan dengan adanya Setel dalam TNG eWallet, pihaknya dapat memenuhi keperluan pengguna di mana jua mereka berada. 

“Usaha ini selari dengan visi kami untuk menawarkan pengalaman mobiliti dan runcit yang lancar melalui inovasi digital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, kerjasama itu sejajar dengan usaha pihaknya untuk mengintegrasikan perkhidmatan harian yang relevan dan praktikal dalam kehidupan seharian pengguna.

“Pengisian minyak adalah rutin bagi kebanyakan rakyat Malaysia, dan inisiatif ini menjadikannya lebih pantas dan mudah diakses. 

“Ia juga membuka titik sentuh baharu di rangkaian stesen PETRONAS di seluruh negara,” katanya.

Sempena pelancaran itu, ganjaran istimewa bernilai RM5 dalam bentuk mata ganjaran Mesra Rewards akan diberikan bagi 50,000 transaksi pertama yang layak melalui program mini TNG eWallet.

Promosi berkenaan terbuka kepada pengguna baharu Setel dan Mesra Rewards, serta pengguna sedia ada yang menghubungkan ID Mesra mereka ke akaun Setel buat kali pertama.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here