Utama Berita Automotif “Aerotrain baharu lebih cekap & selesa,” penumpang

“Aerotrain baharu lebih cekap & selesa,” penumpang

16

Penumpang yang menaiki Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang beroperasi semula hari ini berkongsi pengalaman kali ini jauh lebih baik berbanding tren lama, khususnya dari aspek keselesaan, reka bentuk dan kecekapan operasi.

Seorang penumpang, Syazwan Misbah, 32, berkata tren baharu itu memberikan pengalaman lebih menarik dengan suasana dalam koc yang moden dan berhawa dingin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meninjau kemudahan perkhidmatan aerotrain di KLIA

“Saya rasa tren baharu ini lagi efisien sebab kalau kita tengok pun dia ‘non-stop’ setiap dua minit dan kita tak perlu tunggu lama.

“Berbanding naik bas yang agak susah dan penumpang kena jalan jauh, kalau naik ini (aerotrain baharu) dah dekat (dengan bangunan satelit),” katanya.

Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya pagi ini selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi KLIA berjumlah RM742 juta, yang bertujuan memperkukuh kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia.

Nazihah Abdullah, 35, dari Kuala Lumpur yang sedang dalam perjalanan ke India pula berkata tren baharu itu memberikan keselesaan ketara, dengan ruang lebih luas serta paparan maklumat yang lebih jelas.

“Ruang tren sekarang lagi selesa, luas dan ada paparan yang jelas. Tren lama dulu tak ada paparan macam ini,” katanya menambah tempoh menunggu juga tidak terlalu lama, dengan keseluruhan perjalanan mengambil masa kurang 3 minit.

Aerotrain yang menjadi ciri ikonik KLIA sejak pembukaannya pada 1998, kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R, dengan setiap tren tiga gerabak mampu memuatkan hingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan maksimum 56kmj sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit.

Tren baharu ini turut dilengkapi sistem pemantauan kondisi canggih yang direka untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan, meningkatkan kecekapan operasi serta menambah keselesaan pengguna.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here