
Seorang warga emas Perancis berusia 62 tahun mencetuskan situasi cemas kepada pihak polis selepas melaporkan ‘tertinggal’ isterinya di sebuah stesen minyak lebuh raya menerusi talian kecemasan.
Lebih merumitkan keadaan, lelaki itu tidak mengingati lokasi stesen yang dikunjungi. Kejadian pada 5 Julai itu berlaku ketika warga emas tersebut dari Paris bertolak ke Morocco untuk bercuti bersama isteri dan anak perempuannya menaiki kereta.
Mereka telah berhenti di beberapa stesen minyak sepanjang perjalanan, namun sesuatu yang pelik telah berlaku di salah satu hentian rehat.
Kira-kira jam 4.30 pagi, lelaki tersebut yang namanya tidak didedahkan telah meninggalkan stesen minyak tanpa menyedari telah meninggalkan isterinya.
Beliau hanya menyedari kejadian itu kira-kira 300km kemudian, dan segera menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Perbualan tersebut agak luar biasa, kerana lelaki itu bukan sahaja perlu menjelaskan bagaimana beliau boleh terlupa isterinya di stesen minyak, malah juga menghadapi masalah mengingati lokasi stesen minyak tersebut.
“Kami menerima panggilan yang agak mengelirukan sekitar jam 8:30 pagi.
“Lelaki itu tidak tahu di mana dia berhenti, atau bila. Dia menyebut tentang hentian yang disinggahnya berhampiran Orléans. Kami menghubungi rakan sekerja di sana untuk meminta mereka membuat pemeriksaan,” kata Gendarmerie di wilayah Lardes, Perancis
Merumitkan lagi keadaan, anak perempuan pasangan itu yang berusia 22 tahun berada di dalam kereta sepanjang masa, tetapi tidak begitu membantu kerana tidur dan tidak mengetahui lokasi ibunya ditinggalkan.
Walaupun pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan di beberapa kawasan rehat sepanjang lebuh raya, polis tidak dapat menemui wanita berkenaan.
Menjadikan keadaan lebih tegang, pihak polis mula mengesyaki warga emas itu sengaja meninggalkan wanita tersebut.
Mujur, kisah aneh tersebut berakhir dengan gembira. Polis berjaya mengesan wanita yang hilang itu dengan bantuan operator rangkaian mudah alih melalui pengesanan telefon.
Wanita itu berada di sebuah stesen perkhidmatan lebuh raya di Deux-Sèvres iaitu 300km dari tempat suami menyedari kehilangannya. Wanita itu tidak bergerak sejak jam 4.30 pagi, menunggu keluarganya kembali.
Setelah siasatan ringkas, polis membuat kesimpulan bahawa lelaki dari Paris itu benar-benar terlupa isterinya dan selepas bersatu kembali mereka dibenarkan meneruskan perjalanan ke Morocco.