
Sejak kemunculan sulungnya pada 2001, GSX-R1000 telah merevolusi dunia superbike dengan prestasi luar biasa di jalan raya mahupun di litar lumba.
Digelar sebagai simbol kuasa, ketahanan dan kejayaan, model ini telah mengukir namanya
dengan mendominasi 15 gelaran perlumbaan di Kejuaraan Dunia FIM Endurance.
Selepas empat dekad Suzuki GSX-R, versi kemas kini terbaharu didedahkan menerusi Suzuki GSX-R1000R M6 (2026).
Suzuki menyemak semula secara menyeluruh komponen dalaman enjin dan melengkapkan sistem kawalan elektronik terkini serta bateri litium-ion daripada ELIIY Power.
Semua ini dilakukan bagi mematuhi peraturan emisi dan bunyi yang ketat tanpa menjejaskan prestasi “The King of Sportbikes”.
Berikut penambahbaikan yang diterima Suzuki GSX-R1000R M6 (2026) :
Enjin
-
Komponen Dalaman: Komponen seperti suntikan bahan api, kepala silinder, aci sesondol, injap, omboh, dan aci engkol direka semula untuk mematuhi regulasi dan pada masa sama mengekalkan prestasi tinggi serta ketahanan enjin.
-
Aci Sesondol: Walaupun bukaan injap maksimum tidak berubah, bukaan lengkung telah diubahsuai untuk mengurangkan pertindihan aci sesondol (camshaft overlap).
-
Rantai Sesondol: Lebar rantai sesondol ditingkatkan untuk menahan keadaan lasak dalam perlumbaan ketahanan.
-
Sistem Ekzos: Bentuk sistem ekzos dan susunan pengubah pemangkin disemak semula untuk mengimbangi pematuhan emisi dengan prestasi output tinggi. Reka bentuk baharu ini juga menghasilkan peredam bunyi yang lebih langsing dan bergaya.
Casis
-
Rangka: Rangka aluminium ‘twin-spar’ yang ringan, padat dan tegar dikekalkan yang menawarkan keseimbangan prestasi ‘pecutan, mengambil selekoh, dan berhenti’ pada tahap yang tinggi.
-
Winglet Gentian Karbon: Winglet gentian karbon yang digunakan pada motosikal “Team Suzuki CN Challenge” di perlumbaan Suzuka 8 Hours (2024), kini ditawarkan sebagai aksesori (peralatan standard di beberapa pasaran). Winglet ini menghasilkan downforce untuk mengurangkan bahagian depan terangkat ketika keluar selekoh, membolehkan pecutan lebih lancar.
S.I.R.S. (Suzuki Intelligent Ride System)
-
Kawalan Anti-Angkat: Sistem kawalan anti-angkat ditambah untuk menekan roda depan semasa memecut, menyokong pecutan yang lebih lancar.
-
Roll Torque Control (RTC): Sistem ini menggunakan IMU dan sensor kelajuan roda untuk mengesan postur dan kelajuan motor, mengawal kuasa dan tork roda belakang berdasarkan sudut condong motosikal dan pusingan roda. Ia mengoptimumkan pecutan keluar selekoh. Kawalan Traksi, Kawalan Anti-Angkat, dan RTC beroperasi secara selaras sebagai Sistem TLR Pintar.
EDISI ULANG TAHUN
Sempena ulang tahun ke-40 barisan GSX-R, model terbaharu ini ditawarkan dalam tiga kombinasi warna istimewa untuk kembali membangkitkan nostalgia rekaan grafik lagenda GSX-R terdahulu.
Tiga skema warna yang ditawarkan adalah:
- Pearl Vigor Blue / Pearl Tech White
- Candy Daring Red / Pearl Tech White
- Pearl Ignite Yellow / Metallic Mat Stellar Blue
Di samping itu, turut disematkan grafik dan logo khas ulang tahun ke-40 pada bahagian sisi, atas tangki bahan api, dan maskot kunci. Logo GSX-R pula diletakkan pada pelana dan peredam bunyi.