Pemandu jengkaut maut tertimbus runtuhan tanah

12

Seorang pemandu jengkaut maut selepas tertimbus runtuhan tanah ketika melakukan kerja pengorekan di sebuah tapak projek di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh pada Isnin.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 60 tahun ditemukan tersepit dalam jengkaut yang dikendalikannya.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.52 petang.

Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai yang tiba di lokasi mendapati, sebahagian tanah telah menimbus ruangan pemandu jengkaut dan mengakibatkan mangsa tersepit.

“Bantuan jengkaut lain digunakan untuk mengalihkan timbunan tanah berkenaan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. 

Operasi menyelamat dilaksanakan dengan mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota memberikan rawatan awal dan mangsa tidak memberi sebarang tindak balas.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 3.20 petang,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here