Utama Berita Automotif “Hutang kereta api laju Whoosh jadi bom jangka,” CEO Kereta Api Indonesia

“Hutang kereta api laju Whoosh jadi bom jangka,” CEO Kereta Api Indonesia

9

Ketua Pegawai Eksekutif PT Kereta Api Indonesia (KAI), Bobby Rasyidin menyatakan syarikat kereta api milik negara itu akan bekerjasama dengan Badan Pengurusan Pelaburan Daya Anagata Nusantara (BPI Danantara) bagi menguruskan hutang Kereta Cepat Indonesia China (KCIC).

“Mengenai isu KCIC, kami sedang menelitinya. Ini adalah bom jangka,” katanya ketika sesi pendengaran bersama ahli-ahli Suruhanjaya VI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), baru-baru ini. 

Pada mesyuarat sulung beliau bersama ahli-ahli DPR, Bobby diasak dengan soalan berkaitan beban kewangan akibat hutang kereta api laju Whoosh.

Bobby Rasyidin

Pengerusi Suruhanjaya VI, Anggia Ermarini menyatakan walaupun prestasi teras KAI adalah kukuh, ia terjejas negatif oleh hutang Whoosh.

“Sebenarnya, KAI boleh menjana keuntungan tinggi, tetapi disebabkan Whoosh ia mengalami defisit,” ujarnya.

Seorang lagi ahli Suruhanjaya VI, Darmadi Durianto menyatakan kebimbangan berkenaan dengan menekankan beban kewangan besar yang ditanggung KAI sejak dua tahun lalu, terutamanya dari projek Whoosh.

“Jika kita kira, menjelang 2025 beban kewangan daripada kerugian KCIC boleh mencecah lebih IDR4 trilion. Beban dari KCIC sahaja sudah melebihi IDR950 bilion; didarab dua, ia melebihi IDR4 trilion,” jelas Darmadi.

Sebagai tindak balas kepada cadangan dan kritikan parlimen, Bobby menegaskan komitmen KAI untuk menyelesaikan isu Whoosh itu bagi mengelakkan tekanan kewangan berterusan.

“Pada masa ini, masih terdapat banyak halangan dalam organisasi KAI, dan kami memerlukan seminggu untuk meneliti isu ini,” katanya.

DANANTARA JANJI SELESAIKAN MASALAH

Sementara itu, portal Jakarta Globe Indonesia melaporkan Danantara berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah Whoosh yang semakin memuncak. Projek berkenaan yang menjadi lambang cita-cita dan juga pembaziran.

Ketua Pegawai Operasi Danantara, Dony Oskaria berkata pihaknya menjadikan projek tersebut sebagai salah satu keutamaan segera mereka.

“Sudah tentu, kami akan menyelesaikan proses ini,” katanya pada Jumaat lalu.

Jelasnya, perbincangan sudah pun dijalankan dengan KAI dan KCIC. 

Sepanjang separuh tahun pertama 2025, PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI) anak syarikat KAI yang merupakan pemegang saham terbesar KCIC merekodkan kerugian IDR 1.625 trilion (RM 422.62 juta)

Laluan Whoosh Jakarta ke Bandung sejauh 142km berkenaan hanya mengambil masa 45 minit, berbanding  tiga jam jika menaiki kereta.

Antara Januari dan Jun tahun ini, perkhidmatan itu telah membawa 2.9 juta penumpang, meningkat 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kereta api itu mendapat pujian semasa perbincangan dua hala Prabowo bersama Xi Jinping di Beijing pada November lalu. Namun begitu, projek itu telah menjadi masalah hutang yang membebankan.

Kos projek sebanyak USD7.3 bilion dibiayai 75 peratus melalui pinjaman daripada Bank Pembangunan China.

Pinjaman awal membawa kadar faedah tahunan yang agak rendah, iaitu 2 peratus. Tetapi akibat pandemik dan pertikaian perolehan tanah telah meningkatkan lebihan kos sebanyak USD1.2 bilion dan Indonesia terpaksa menerima pembiayaan tambahan pada kadar 3.4 peratus.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here