
Projek Kereta Cepat Jakarta Bandung (KCJB) atau Whoosh masih menjadi beban kewangan bagi sejumlah syarikat milik negara (BUMN) yang terlibat.
Perkhidmatan berkenaan terus merekodkan kerugian dengan nilai yang cukup besar dan empat syarikat BUMN dalam konsortium PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) perlu berkongsi tanggungjawab bagi hutang yang semakin meningkat dan bebanan bunga yang tinggi perlu dibayar kepada China.
Ini kerana sebahagian besar dana membangunkan kereta api laju itu adalah dari pinjaman China Development Bank (CDB) manakala bakinya dari Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) serta penyertaan modal gabungan antara BUMN Indonesia dan perusahaan China yang terlibat.
Sejak pembangunan 2016, Whoosh tidak terlepas daripada masalah kos meningkat. Pembiayaan mencapai IDR 18.2 trilion (RM 4.69 bilion) yang mana lebih mahal daripada proposal yang ditawarkan oleh Jepun sebelumnya.
APBN Indonesia dan tambahan hutang dari China kemudian dikeluarkan untuk menampung lebihan kos ketika pembangunan Whoosh.
Susulan itu syarikat BUMN mengalam kerugian bilion rupiah menerusi laporan kewangan PT Kereta Api Indonesia (Persero) baru-baru ini.
PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI) anak syarikat Kereta Api Indonesia (KAI) merekodkan kerugian hingga IDR 4.195 trilion (RM 1.09 bilion) pada 2024 dan kerugian terus direkodkan tahun ini.
Sepanjang semester pertama 2025, PT PSBI yang merupakan pemegang saham terbesar merekodkan PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) merekodkan kerugian IDR 1.625 trilion (RM 422.62 juta)
Ia termasuk pembayaran hutang yang turut memberi kesan kewangan kepada empat syarikat pemegang saham PT PSBI.
Empat syarikat itu adalah PT KAI sebagai pemimpin konsortium dengan pegangan saham terbanyak 58.53 peratus diikuti PT Wijaya Karya atau WIKA (33.36 peratus); PT Jasa Marga (7.08 peratus), dan PTPN VIII (1.03 peratus).
Sementara dari pihak China, sebanyak lima syarikat dalam konsortium China Railway melibatkan China Railway International Company Limited; China Railway Group Limited; Sinohydro Corporation Limited; CRRC Corporation Limited serta China Railway Signal and Communication Corp.
Kemudian, dua syarikat dari Indonesia dan China membentuk PT KCIC. PT PSBI sebagai wakil Indonesia memegang 60 peratus saham KCIC manakala bakinya dimiliki China.
PERANCANGAN PERJALANAN HINGGA SURABAYA DIHENTIKAN
Oleh kerana pembiayaan projek yang meningkat ketika pembangunan Whoosh yang akhirnya diiringi dengan tambahan hutang dari China menjadikan kerajaan Indonesia berhati-hati dalam melanjutkan pembangunan ke tahap seterusnya iaitu melibatkan laluan hingga Surabaya.
Dengan kereta api laju dapat memendekkan perjalanan antara dua kota besar di Pulau Jawa menjadi 3.5 jam berbanding sembilan hingga 10 jam menggunakan kereta api biasa.
Kementerian Perhubungan menyatakan kajian kelayakan terus diperbaharui agar selaras dengan keadaan di lapangan dan keperluan penumpang.
Salah satu perancangan adalah menjadikan projek lanjutan itu sebagai kereta api semi laju (medium high speed rail) dengan kecepatan 160 hingga 200kmj yang berbeza dengan laluan Jakarta–Bandung.
Langkah ini dipertimbangkan demi kecekapan biaya serta menyesuaikan karakteristik wilayah padat penduduk yang akan dilalui seperti Cirebon, Semarang, Solo, hingga Surabaya.
Bagaimanapun laluan Jakarta–Surabaya masih belum diputuskan yang mana kerajaan mempertimbangkan akan menggunakan laluan selatan, utara atau kombinasi keduanya.
Menteri Koordinator Bidang Infrastruktur, Agus Harimurti Yudhoyono (AHY), mengatakan Presiden Prabowo Subianto memberi arahan tegas terkait kelanjutan projek ini.
“Presiden Prabowo jelas memberikan arahan untuk melanjutkan atau memperpanjang Kereta Cepat Jakarta Bandung ke Surabaya,” katanya.
Menurut AHY, Presiden Prabowo memiliki visi untuk menghubungkan di seluruh Pulau Jawa dengan jaringan pengangkutan moden dan efisien, tanpa membebani APBN.
“Dia juga berharap regulasi baru bisa membuka peluang pelaburan. Saat ini, pemerintah tengah mencari skema pembiayaan yang tepat agar projek tersebut tidak bergantung pada anggaran negara.
“Ini lebih daripada sebuah lanjutan dan ini menunjukkan visi utama untuk menghubungkan mobilitas di Jawa. Kita sedang menyiapkan framework regulasi baru,” ujarnya.