Pemandu mabuk rempuh dua motor URB polis

10

Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan polis selepas kereta Audi A6 yang dipandunya merempuh dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di KM8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kereta itu dari arah Skudai dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua motosikal Kawasaki EX250 milik URB yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.

“Dua anggota polis masing-masing berusia 29 dan 36 tahun sedang melaksanakan kawalan lalu lintas di lokasi kemalangan.

“Seorang daripadanya cedera di kaki kiri dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, manakala seorang lagi anggota serta pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu itu didapati positif, manakala ujian awal air kencing pula negatif dadah.

Suspek direman selama dua hari bermula 7 hingga 8 September 2025 selepas mendapat kebenaran Mahkamah Johor Bahru.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 selain penggantungan lesen memandu selama 10 tahun.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here