Utama Berita Automotif Gangguan Aerotrain : MAHB, kontraktor boleh dikenakan tindakan susulan

Gangguan Aerotrain : MAHB, kontraktor boleh dikenakan tindakan susulan

15

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) boleh dikenakan tindakan susulan gangguan perkhidmatan yang berlaku melibatkan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata bentuk tindakan bakal diambil akan dibincangkan di peringkat kementeriannya.

Pada masa sama, beliau berkata pihak kontraktor juga tidak wajar mengambil sikap lepas tangan memandangkan mereka didenda kerana insiden gangguan Aerotrain yang tidak sepatutnya berlaku.

“Betul, kita tak bagi alasan kepada syarikat MAHB atau kontraktor. Satu kali gangguan pun kita rasa tak patut. Jadi mereka kena pastikan sebaiknya kalau boleh 100 peratus tak ada apa-apa gangguan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung sejauh manakah akauntabiliti dikenakan terhadap kontraktor dan pengurusan MAHB terhadap kelemahan berterusan perkhidmatan aerotrain.

Sebelum ini Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, dilapor berkata antara tempoh 2 Julai hingga 30 September lalu, sistem Aerotrain mengalami 19 kali gangguan, antaranya berkaitan isu teknikal seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu.

Bagaimanapun beliau memaklumkan ketersediaan perkhidmatan operasi sistem Aerotrain di KLIA secara keseluruhannya di tahap 100 peratus, selepas mula kembali beroperasi pada 1 Julai lalu.

Dalam pada itu, Loke berkata pihak MAHB juga akan mengambil tindakan terhadap kontraktor memandangkan Aerotrain masih dalam tempoh liabiliti dua tahun.

“Apa-apa gangguan dan kalau tak dapat standard perkhidmatan, maka pihak MAHB akan denda.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai regulator kepada mana-mana tren sistem, kita juga boleh ambil tindakan kepada MAHB. Perkara ini saya akan bincangkan di peringkat MoT.

“Walaupun MAHB itu GLC (syarikat berkaitan kerajaan) tetapi ia juga tertakluk kepada pelesenan kita. Jadi melalui APAD, kita boleh ambil tindakan denda (kepada) MAHB kalau mereka tak dapat beri tindakan terbaik kepada penumpang,” katanya.

Loke berkata audit forensik dilakukan untuk mengenal pasti kelemahan berterusan sistem aerotrain bukan kos di bawah tanggungjawab kerajaan kerana projek itu di bawah MAHB.

“Bukan peruntukan MoT. Itu banyak kesilapan fakta. Kos adalah ditanggung MAHB sebagai pengendali lapangan terbang yang diberikan konsesi oleh kerajaan.

“Jadi kos keseluruhan untuk sistem aerotrain bukan ditanggung kerajaan. Tak ada satu sen peruntukan kerajaan,” katanya.

Sepanjang tiga bulan aerotrain beroperasi, Loke berkata jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu mencecah lima juta orang.

Dari segi ganggu teknikal pula, beliau berkata 99.2 peratus masa aerotrain beroperasi dalam keadaan normal.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here