
Sistem perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan sebanyak 19 insiden gangguan antara 2 Julai hingga 30 September lalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata masalah yang berlaku melibatkan isu teknikal dan juga perbuatan manusia, antaranya penumpang yang cuba membuka pintu tren secara paksa.
Bagaimanapun, menurut beliau penambahbaikan sentiasa dilakukan dan pegawai teknikal turut ditempatkan dalam tren bagi tujuan pemantauan segera.
“Pegawai teknikal ditempatkan dalam tren untuk memastikan sekiranya berlaku sebarang insiden, ia dapat dibaiki serta-merta.
“Ketersediaan perkhidmatan operasi sistem Aerotrain secara keseluruhan kini berada pada tahap 100 peratus, selepas ia kembali beroperasi pada 1 Julai lalu,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai mekanisme pampasan terhadap pihak pengeluar jika insiden kegagalan sistem berulang, Hasbi memaklumkan bahawa penalti sehingga maksimum RM190,000 sebulan boleh dikenakan sekiranya piawaian yang ditetapkan tidak dipenuhi.
“Pihak pengeluar perlu memastikan ketersediaan tren pada tahap 100 peratus untuk satu tren beroperasi, dan 99.6 peratus untuk dua tren beroperasi, jadi toleransinya sangat ketat.
“Pada masa sama, prestasi operasi tren kini berada pada tahap 100 peratus dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan terus bekerjasama untuk memastikan operasi kekal berada pada tahap maksimum,” jelasnya.
TEMPOH DLP DUA TAHUN
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Khairil Nizam mengenai punca kegagalan penyelenggaraan Aerotrain KLIA yang menyebabkan gangguan berulang serta tindakan kerajaan memastikan kelancaran pengangkutan penumpang, Hasbi berkata projek Aerotrain di Terminal 1 KLIA kini berada dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama dua tahun.
Jelas beliau, pada masa ini sistem mekanikal dan semboyan Aerotrain sedang melalui fasa penyesuaian awal ke arah mencapai kestabilan penuh operasi.
“Ketersediaan perkhidmatan operasi Aerotrain secara keseluruhan sejak dimulakan sehingga 8 Oktober lalu adalah pada tahap 99.19 peratus.
“Kestabilan operasi semakin baik, dengan Aerotrain merekodkan ketersediaan 100 peratus bagi minggu ke-13 (28 September hingga 3 Oktober) dan minggu ke-14 (5 hingga 10 Oktober),” katanya.
Tambah beliau, sehingga 8 Oktober lalu, Aerotrain baharu tersebut telah menggerakkan seramai 5.33 juta penumpang dan mencatatkan perjalanan melebihi 39,942km.
Pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sentiasa bekerjasama dengan pihak pengeluar, iaitu Alstom, bagi memastikan tindakan segera diambil demi menjamin kelancaran operasi.