
Perodua memperkenalkan tawaran gaya hidup bersepadu menerusi aplikasi super baharunya yang dinamakan P-Circle.
P-Circle bukan sekadar aplikasi, tetapi sebuah inisiatif Mobility as a Service (MaaS) yang diperluaskan menjadi Mobility as a Lifestyle kerana ia menggabungkan sebahagian besar perkhidmatan dalam talian di bawah satu platform tunggal.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata kepelbagaian perniagaan berasaskan teknologi ini adalah selaras dengan matlamat masa depan industri automotif yang mana pengguna kini semakin cenderung untuk menyambungkan kenderaan dan rumah mereka dengan Internet.
“Kami mahu membuktikan bahawa kami boleh berinovasi dengan menyediakan semua perkhidmatan yang diperlukan oleh pelanggan selaras dengan falsafah ‘We Go Beyond’ kami.
“Komponen utama dalam MaaS adalah untuk menawarkan penyelesaian fleksibel kepada pemandu berdasarkan keperluan perjalanan mereka dan pakej yang kami tawarkan memenuhi keperluan itu,” katanya pada majlis pelancaran.
P-Duit Mudahkan Pemilik EV Perodua
Antara komponen utama yang menjadi tumpuan dalam P-Circle ialah P-Duit iaitu e dompet yang dicipta untuk memudahkan transaksi pembayaran.
Zainal berkata ciri ini direka khas untuk memberi manfaat besar kepada bakal pemilik kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua.
“Kami telah memeterai perjanjian dengan semua pengendali stesen pengecasan utama yang telah bersetuju untuk menerima pembayaran daripada e-dompet kami,” katanya.
Selain itu, P-Circle turut memperkenalkan P-Charge Mobile iaitu kemudahan mengecas EV semasa dalam perjalanan yang mana petugas disediakan bagi membantu sekiranya berlaku kecemasan
Tambah beliau, P-Vehicle hanya boleh digunakan selepas pelancaran EV Perodua.
Super App Dengan 12 Fungsi Utama
P-Circle dilengkapkan dengan lebih sedozen ciri menarik, termasuk:
-
P-Marketplace: Kerjasama dengan Jabatan Alat Ganti Perodua (SPD) untuk menjual alat ganti dan aksesori rasmi. Fasa kedua akan melibatkan penjual lain seperti produk Unifi (TM) dan peniaga kecil terpilih.
-
P-Health: Jam pintar yang memantau sistem kesihatan pengguna.
-
P-Vehicle: Modul kawalan jauh bagi EV yang akan dilancarkan, membolehkan pengguna menghidupkan enjin, mengesan lokasi, dan mengawal penyaman udara dari jauh.
-
P-Guardian & P-Charge: Berfungsi sebagai aplikasi pemantauan rumah di mana pengguna boleh memantau keadaan kediaman menerusi kamera pada pengecas rumah (P Home).
-
P-Entertainment: Perkhidmatan platform penstriman dengan tumpuan pada kandungan tempatan.
Aplikasi P-Circle kini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play App. Peralatan sokongan seperti pengecas mudah alih dan jam pintar pula boleh dibeli di semua Pusat Servis Perodua seluruh negara.