Teknologi generasi baharu Honda: Pelantar 90 kg lebih ringan, lebih jimat, Boost Mode dan teknologi robotik Honda

12

Era baharu elektrifikasi Honda bermula! Semasa Bengkel Teknologi Automotif Honda baru-baru ini, Honda Motor Co Ltd berkongsi dan merungkai teknologi generasi baharu mereka.

Teknologi HEV (hibrid elektrik) terbaharu akan memasuki pasaran seawal 2025, manakala teknologi platform EV (elektrik) baharu pula akan menyusul secara global bermula 2026.

Pengumuman ini berpusat pada tiga teras teknologi utama:

  1. Pelantar(platform) untuk model hibrid saiz besar generasi baharu.
  2. Sistem HEV untuk model hibrid saiz besar generasi baharu.
  3. Teknologi utama yang akan digunakan pada model produksi EV kompak Super-ONE Prototype.

1. Pelantar (Platform) HEV Generasi Baharu

Selari dengan permintaan pasaran yang terus berkembang untuk model hibrid elektrik (HEV), Honda telah membangunkan pelantar dan sistem hibrid generasi baharu.

HEV generasi baharu ini, yang dijadual mula dijual pada 2027 diletakkan sebagai teras produk elektrifikasi Honda.

Pelantar ini adalah kritikal untuk model HEV saiz sederhana hingga besar, dibangunkan dengan pendekatan menyeluruh untuk membawa nilai unggul dan meningkatkan keseronokan memandu (joy of driving).

Inovasi Struktur dan Kecekapan

  • Pengurangan Berat Ketara: Honda berjaya mengurangkan 90 kg berat pada pelantar HEV generasi baharu
  • Ketegaran Badan Dioptimumkan: Walaupun lebih ringan, ketegaran badan dioptimumkan melalui reka bentuk kejuruteraan baharu untuk meningkatkan kestabilan pemanduan. Kawalan beban tayar yang tepat semasa membelok akan menghasilkan keupayaan cengkaman yang cemerlang.
  • Seni Bina Modular: Penggunaan seni bina modular membolehkan kesamaan bahagian (parts commonality) lebih 60% merentasi model, meningkatkan kecekapan dan kepantasan pengeluaran.

2. Sistem Hibrid-Elektrik Saiz Besar Generasi Baharu

Sistem hibrid baharu ini adalah nadi untuk model HEV kenderaan segmen D dan lebih besar, menjanjikan peningkatan prestasi yang ketara.

  • Komponen Berkecekapan Tinggi: Sistem ini menggabungkan enjin V6 baharu (mematuhi peraturan alam sekitar yang ketat) dengan unit pemacu dan pek bateri berkecekapan tinggi.
  • Matlamat Peningkatan Prestasi (Sasaran):
      • Kecekapan Bahan Api model HEV baharu meningkat lebih 30%.
      • Prestasi Pecutan penuh (full-throttle) meningkat lebih 10% berbanding model ICE bersaiz sama di pasaran.

Apa yang kami boleh katakan, platform dan rangkaian baharu itu mungkin menjadi teknologi bakal digunakan pada model Civic dan CR-V generasi baharu. 

3. Teknologi Utama pada EV Kompak Super-ONE Prototype

Teras teknologi ketiga ini adalah fokus Honda dalam segmen EV kompak, dengan model produksi Super-ONE dijangka dijual pada 2026.

  • Pelantar EV Ringan: Super-ONE menggunakan pelantar khusus, dengan bateri nipis diletakkan di tengah-tengah badan (pusat graviti rendah). Ini menjadikan Super-One satu daripada EV teringan dalam segmen A, memberikan tindak balas pemanduan yang tinggi dan kestabilan cemerlang.

  • Boost Mode dan Simulasi Pemanduan: Untuk pengalaman pemanduan sporti, model ini dilengkapi Boost Mode khusus yang disepadukan dengan simulasi transmisi 7-kelajuan dan Active Sound Control. Gabungan ini bertujuan mencipta sensasi rasa tukaran gear yang tajam serta bunyi yang kuat, meniru pengalaman pemanduan kereta berkuasa petrol tradisional.

Teknologi Dinamik

Bagi mencapai matlamat keseronokan memandu, Honda akan menggunakan teknologi kawalan dinamik canggih yang relevan untuk semua pelantar elektrifikasi:

  • Motion Management System (MMS): Memanfaatkan pengetahuan kawalan postur daripada teknologi robotik Honda untuk membantu pemandu mengawal kenderaan dengan tepat.

  • Agile Handling Assist (AHA): Sistem kawalan elektronik ini menyokong tingkah laku kenderaan yang lancar, terutamanya semasa membelok, dengan mengoptimumkan beban tayar untuk prestasi cengkaman yang tinggi.

Secara keseluruhan, pengumuman Honda di Bengkel Teknologi Automotif ini menggariskan strategi dua hala yang agresif; pertama, mempertingkatkan prestasi HEV saiz besar melalui pelantar modular yang 90 kg lebih ringan dan sistem hibrid V6 yang 30% lebih jimat.

Pada masa yang sama, Honda mendefinisikan semula pengalaman EV kompak dengan Super-ONE Prototype, yang menawarkan pengalaman pemanduan sporti melalui Boost Mode dan simulasi 7-kelajuan.

Melalui aplikasi teknologi kawalan dinamik seperti MMS dan AHA pada semua pelantar, Honda menegaskan komitmen mereka untuk mengekalkan dan mempertingkatkan keseronokan memandu dalam era elektrifikasi.

Inovasi-inovasi ini dijangka meletakkan Honda dalam kedudukan yang kukuh untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat menjelang tahun 2027 dan seterusnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here