
GWM Malaysia memperkenalkan dua varian baharu hatchback elektrik mereka menerusi ORA Good Cat Ultra dan ORA Good Cat GT.
Kedua-dua model itu tampil dengan gaya lebih berani, warna baharu yang segar serta dilengkapi teknologi lebih pintar untuk pemandu moden.
Setakat ini, lebih 520,000 unit ORA Good Cat telah dimiliki di seluruh dunia. Angka yang membuktikan popularitinya dalam kalangan mereka yang mahu beralih kepada pemanduan elektrik tanpa mengorbankan gaya dan keselesaan.
Untuk pasaran Malaysia, ORA Good Cat 2025 kini hadir dengan pilihan warna dua tona baharu termasuk So Blue dengan bumbung hitam yang menyerlahkan imej moden dan berani.

Warna lain yang ditawarkan ialah Hazel Wood Beige, Pistachio Green dan dua warna eksklusif untuk varian GT pula ditawarkan Aqua Grey serta Sun Black.
Gaya retro-futuristik masih dikekalkan, tetapi kini dengan sentuhan moden yang menjadikannya lebih bergaya di jalan raya. Kalau sebelum ini Good Cat dikenali dengan rupa “comel”, kali ini ia tampil lebih matang dan yakin.
ORA Good Cat Ultra
Harga bermula daripada RM109,800, varian Ultra mengekalkan pemanduan elektrik yang lancar dan senyap. Ia menggunakan bateri 57.7 kWh SVOLT LFP dengan jarak pemanduan sehingga 480 km (NEDC).
Motor elektriknya menghasilkan 143 PS dan 210 Nm tork, sesuai untuk kegunaan harian tanpa perlu risau tentang jarak perjalanan. Pengecasan pantas DC 60 kW pula membolehkan bateri dicas dari 30 ke 80% dalam kira-kira 38 minit sahaja.
Bahagian dalam dilengkapi skrin infotainmen 10.25 inci, tempat duduk kulit sintetik, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk kemudahan hiburan dan navigasi.
ORA Good Cat GT
Untuk mereka yang mahukan gaya lebih agresif dan bersemangat, varian GT ini mungkin pilihan yang lebih sesuai.
Dengan 171 PS dan 250 Nm tork, pemandu boleh merasai kuasa lebih spontan serta pemanduan yang lebih mengujakan. Satu kapasiti bateri penuh, ia boleh dipandu sejauh 460 km (NEDC), iaitu 20 km kurang daripada varian Ultra.
Bagaimanapun, versi GT ini lebih garang! Reka bentuk luaran berbeza dengan kit badan GT, rim 18 inci berwarna hitam, angkup brek kuning serta jahitan kontras kuning pada tempat duduk suede. Harga untuk varian GT bermula dari RM119,800.

Kedua-dua varian itu dilengkapi sistem ADAS Tahap 2, merangkumi pelbagai fungsi bantuan pemandu seperti kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan automatik dan kamera 360 darjah.
Selain itu, pemilik boleh menggunakan aplikasi My GWM bagi memantau kenderaan, status bateri dan lokasi pengecasan terus dari telefon pintar mereka.

Waranti & Promosi
Setiap pembelian disertakan waranti kenderaan selama 5 tahun atau 150,000 km, serta waranti bateri selama 8 tahun atau 180,000 km.
Bagi pembeli awal, GWM turut menawarkan diskaun RM3,000 untuk pendaftaran yang dibuat sebelum 31 Disember 2025.
Bersempena pelancaran itu, GWM Malaysia turut menganjurkan kempen “Book & Win” yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM150,000.
Pelanggan yang membuat tempahan mana-mana model GWM sepanjang tempoh kempen berpeluang memenangi baucar tunai dan pelbagai hadiah menarik.
































