
Menurut laporan yang memetik sumber InvestingLive, ketiga-tiga kilang usaha sama GAC Honda di China akan menghentikan sepenuhnya pengeluaran kenderaan bermula 29 Disember hingga 2 Januari.
Penggantungan itu melibatkan operasi pembuatan kenderaan lengkap di kemudahan tersebut selama lima hari.
Honda menyatakan bahawa punca utama adalah disebabkan masalah kekurangan semikonduktor yang berterusan di China.
Syarikat itu mengakui bahawa keadaan bekalan cip sebelum ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan, namun penutupan terbaharu menunjukkan bahawa ketersediaan semikonduktor masih belum mencukupi untuk menyokong pengeluaran tanpa gangguan.

Honda mengeluarkan kira-kira 816,597 kenderaan di China mewakili sekitar 22 peratus daripada pengeluaran globalnya di China.
Syarikat itu juga menjual lebih 850,000 kenderaan di China pada tahun tersebut, sekali gus menekankan kepentingan negara itu sebagai hab pengeluaran utama dan pasaran jualan teras bagi Honda.
Sebelum ini, Honda menjangkakan pengeluaran akan kembali normal bermula lewat November.
Pemberhentian tersebut menunjukkan cabaran rantaian bekalan masih belum selesai, sekali gus menyukarkan usaha untuk memulihkan kestabilan pengeluaran.
Pada hari laporan tersebut diterbitkan, harga saham Honda jatuh kira-kira 1.5 peratus di bursa saham Tokyo.
Penurunan itu mencerminkan kebimbangan pasaran bahawa kekangan bekalan yang berterusan bersama permintaan yang lemah, boleh menjejaskan prestasi pendapatan syarikat dalam tempoh akan datang.
Selain penutupan di China, Honda juga merancang menghentikan pengeluaran singkat di kemudahan domestik di Jepun.
Syarikat itu memaklumkan bahawa kemudahan di Jepun akan menggantung pengeluaran pada 5 dan 6 Januari.
Laporan penggantungan pengeluaran ini menunjukan impak berterusan kekurangan semikonduktor terhadap operasi pembuatan Honda.
Walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan awal, perubahan jadual terbaharu syarikat menunjukkan bahawa kekangan cip terus mempengaruhi perancangan pengeluaran di China dan pasaran lain.






























