Thunder Custom LS250-S tampil dengan varieti Hardtail, Softail

8

Pengedar tunggal motosikal jenama Scomadi dan Lambretta – Bike Continent Sdn Bhd – memperkenalkan jenama baru ke pasaran Malaysia, iaitu Thunder Motorcycles.

Model pertamanya, Thunder Custom LS250-S dilancarkan pada harga RM23,788 tidak termasuk insurans dan tersedia dalam dua versi – Softail dan Hardtail.

Secara asasnya, Thunder Motorcycles adalah jenama berasal dari Jepun, namun pengeluaran motosikalnya dibuat di China.

Untuk Custom LS250-S, ia dipacu enjin suntikan bahan api dua silinder V 249 cc, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan.

Jentera ini mampu menghasilkan kuasa 17 hp pada 8,000 rpm dan tork 19 Nm pada 6,000 rpm.

Penghantaran kuasa kepada roda belakang dilakukan melalui sistem rantai, sementara roda pula – kedua-dua di bahagian hadapan dan belakang – menggunakan unit 16 inci dan dilengkapi brek cakera.

Apa yang mencuri tumpuan untuk model Thunder Custom ini, ia dibawa dengan sistem suspensi hadapan springer fork, seperti yang banyak digunakan oleh motosikal ubah suai khas.

Manakala untuk bahagian belakang ia bergantung kepada versi.

Hardtail dilengkapi spring pada bawah tempat duduk, manakala Softail menggunakan monoshock yang tersembunyi.

Bahagian lain motosikal ini adalah ringkas, termasuk butang kawalannya, meter gabungan analog dan digital, serta tangki bahan api tujuh liter.

Berat keseluruhan motosikal ini pula adalah 181 kg.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here