Utama Berita Automotif BYD Racco bakal lancar di Jepun, bertempur di lubuk kei-car!

BYD Racco bakal lancar di Jepun, bertempur di lubuk kei-car!

9

BYD Racco bakal menjadi model elektrik kompak pertama BYD yang direka khusus bagi memenuhi piawaian kenderaan kei-car untuk pasaran Jepun.

Racco merupakan sebuah kenderaan elektrik (BEV) dalam kategori super height wagon yang menggabungkan aspek kepelbagaian fungsi dan kecekapan tenaga.

BYD kini sedang giat menjalankan persiapan bagi pengenalan model ini ke pasaran Jepun.

Selepas penampilan sulung di Japan Mobility Show 2025, Racco telah dipamerkan di pelbagai lokasi termasuk Osaka, Fukuoka dan Sapporo.

Langkah ini bagi mendengar maklum balas serta memahami keperluan pengguna di sana terhadap penggunaan kereta kompak dalam kehidupan seharian.

Bagi memulakan persiapan sebelum pelancaran rasmi pada musim panas 2026 (Jun hingga Ogos), BYD Auto Japan (BAJ) telah melancarkan laman web khas untuk Rocco.

Laman web tersebut berfungsi sebagai platform utama untuk menyalurkan maklumat, perincian teknikal, serta konsep pembangunan model Racco secara berperingkat kepada orang awam.

Simbolik Nama dan Falsafah Raku

Nama Racco diilhamkan daripada memerang laut atau sea otter yang melambangkan kebijaksanaan, kecomelan dan sifat mesra.

Haiwan ini dikenali kerana menggunakan batu kecil untuk memecahkan cangkerang, satu bentuk kebijaksanaan yang unik dalam alam semula jadi.

Selain itu, sebutan nama Racco dalam bahasa Jepun mempunyai persamaan bunyi dengan perkataan Raku yang membawa maksud mudah, selesa atau santai.

Ini mencerminkan matlamat BYD untuk menyediakan kenderaan yang memudahkan urusan harian pemiliknya.

Satu lagi yang menarik, Racco merupakan akronim kepada lima teras utama iaitu Reliable (Boleh dipercayai), Affectionate (Mesra), Clever (Bijak), Cozy (Selesa) dan Ocean (Lautan).

Memandangkan memerang laut dikategorikan sebagai spesies terancam, pemilihan nama ini membawa mesej mendalam mengenai perlindungan alam sekitar global, lautan dan generasi akan datang.

Ia selari dengan visi BYD untuk menurunkan suhu bumi sebanyak 1 darjah Celsius menerusi pilihan mobiliti elektrik yang mesra alam.

Rangkaian Kuasa dan Prestasi Bateri

BYD Racco menggunakan pacuan roda hadapan dan menawarkan dua pilihan kapasiti bateri yang berbeza mengikut keperluan pengguna.

Fokus utama pembangunan model ini adalah untuk memastikan jarak gerak yang mencukupi bagi pemanduan harian di kawasan bandar mahupun perjalanan jarak sederhana.

  • Pacuan: Roda hadapan (FWD)
  • Kapasiti Bateri Standard: Sekitar 20 kWj
  • Kapasiti Bateri Long Range: Sekitar 30 kWj
  • Sasaran Jarak Pemanduan Standard: Melebihi 200 km
  • Sasaran Jarak Pemanduan Long Range: Melebihi 300 km

Rekaan Luaran dan Ruang Dalaman

BYD Racco direka dengan konfigurasi badan jenis super height wagon yang mempunyai bumbung tinggi bagi memaksimumkan ruang kepala.

Bagi meningkatkan aspek praktikaliti, ia dilengkapi pintu gelongsor elektrik dua sisi yang memudahkan urusan keluar masuk penumpang serta kargo, terutamanya di kawasan parkir yang sempit.

Ruang kabin Racco direka untuk memberikan suasana yang luas dan terang, memenuhi keperluan pengguna yang mementingkan keselesaan dalam sebuah kei-car.

Gabungan reka bentuk yang tinggi dan penggunaan pintu gelongsor menjadikan Racco sebuah kenderaan yang sangat cekap untuk kegunaan keluarga mahupun aktiviti harian di kawasan bandar.

Meskipun bakal bertempur di lubuk kei-car, saingan Racco sebenarnya tidak banyak sebagai contoh Nissan Sakura dan Mitsubishi eK X EV.

Ini memberikan kelebihan kepada Racco berbanding bersaing secara langsung dengan Honda N-BOX yang sudah bertahun menjuarai segmen kei-car dan kereta terlaris Jepun.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here