Utama Berita Automotif Tembak Proton X70 Komander AKPS, suspek guna senjata semi automatik

Tembak Proton X70 Komander AKPS, suspek guna senjata semi automatik

273

Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada jam 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

“Mangsa sedang menghala ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar full-face.

“Seorang daripada suspek melepaskan dua tembakan yang terkena pintu di bahagian kanan belakang kenderaan dan pintu sebelah penumpang hadapan, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya. 

Adzli berkata, sejurus kejadian mangsa yang memandu seorang diri cuba mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer sebelum mereka lolos ke kawasan perindustrian berhampiran.

Katanya, mangsa kemudian memandu kenderaan persendirian Proton X70 ke Balai Polis Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam. 

Beliau berkata, polis akan menyiasat daripada semua aspek dan tidak menolak kemungkinan ada ketidakpuasan hati mana-mana sindiket yang melakukan kesalahan di sempadan.

Adzli memaklumkan AKPS Bukit Kayu Hitam merekodkan banyak kejayaan rampasan dalam tempoh dua bulan ini, termasuk rampasan 100 tan beras dan daging khinzir.

“Ini mungkin menyebabkan ketidakpuasan hati sindiket-sindiket. Pihak polis juga banyak menangkap penyeludup dan migran yang berpusat di sini dan mangsa bertanggungjawab atas penugasan di kompleks ini (ICQS Bukit Kayu Hitam),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here