
Kementerian Kewangan (MOF) memandang serius video tular memaparkan seorang lelaki dan wanita mengisi RON95 ke dalam sebuah tong besar yang dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Mutiara Rini, Johor Bahru.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati individu berkenaan adalah warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.
“Perbuatan ini melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95, dan berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan.
“Susulan insiden itu, Kementerian Kewangan akan mengambil tindakan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi tersebut serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati subsidi BUDI95,” katanya.
Kerajaan menegaskan bahawa sebarang ketirisan dan salah guna subsidi tidak akan ditoleransi, khususnya dalam situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.
Tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab ini.
Sementara itu, tular beberapa video di media sosial memaparkan kenderaan nombor pendaftaran Johor mengisi RON95 dalam sebuah tong di but kereta dipercayai berlaku pada malam Sabtu lalu.
Perakam video turut menunjukkan jumlah lebih 71 liter RON95 yang diisi, dengan bayaran melebihi RM230 tertera di pam.
Membeli petrol bersubsidi (RON95/Diesel) menggunakan tong/bekas tanpa permit adalah salah di sisi undang-undang, khususnya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.





























