Utama Berita Automotif Pakar larang bawa kereta lebih usia 20 tahun, ini sebab kena guna...

Pakar larang bawa kereta lebih usia 20 tahun, ini sebab kena guna insentif RM4k

9
gambar hiasan

Pemilik kereta lama digalakkan menukar kenderaan baharu bagi memanfaatkan insentif RM4,000 yang diperkenalkan kerajaan untuk pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun.

Profesor Madya di School of Engineering, Universiti Taylor, Ir Dr Rifqi Irzuan Abdul Jalal berkata langkah itu bukan sahaja untuk keselamatan diri tetapi juga untuk manfaat jangka panjang termasuk menjimatkan kos dan menyokong alam sekitar.

Jelasnya, kereta lama tidak dilengkapi kawalan kestabilan elektronik atau sistem beg udara moden dan pemilik digalakkan menukar kenderaan lama supaya risiko kecederaan dan kematian dalam kemalangan dapat dikurangkan selain mengurangkan pencemaran udara.

“Kenderaan yang dibina lebih 20 tahun lalu beroperasi di bawah standard keselamatan kini dan ramai tidak mempunyai ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, manakala teknologi pengurusan hentakan moden hanya terdapat pada kereta baharu

“Oleh itu, menggantikan kenderaan lama secara berperingkat mampu menurunkan kadar kecederaan serius dan kematian di jalan raya,” katanya.

Tambah beliau, setiap peningkatan keselamatan dalam kenderaan memberikan kesan kesihatan awam yang nyata dari masa ke masa.

Beliau yang juga pakar teknologi kenderaan, elektrifikasi dan sistem mobiliti berkata, kenderaan lama biasanya mematuhi Euro 2 atau lebih rendah, manakala kereta baharu mesti memenuhi Euro 4 atau Euro 5.

“Ini bermakna pengurangan bahan pencemar seperti nitrogen oksida, karbon monoksida, hidrokarbon dan zarah halus adalah signifikan.

“Apabila kenderaan lama dikeluarkan, udara bandar dijangka lebih bersih, sekaligus menyokong matlamat negara mencapai neutral karbon menjelang 2050,” katanya.

KOS TETAP JADI ISU UTAMA

Gambar hiasan

Dalam pada itu, beliau berkata kos tetap turut menjadi isu utama kerana ramai pemilik kereta lama dari golongan berpendapatan rendah.

“Walaupun insentif RM4,000 disediakan, pembelian kereta baharu mungkin memerlukan pinjaman atau insurans lebih tinggi.

“Malah, kereta lama turut menggunakan lebih banyak bahan api, memerlukan penyelenggaraan kerap dan alat ganti sukar diperoleh.

“Dalam jangka panjang, kereta baharu boleh menstabilkan kos bulanan kerana risiko kerosakan lebih rendah dan penjimatan bahan api lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai insentif kerajaan pula, menurutnya langkah itu dijangka merangsang permintaan kereta baharu dan menyokong Jumlah Industri Kenderaan (TIV).

Katanya, kesan positif dirasai bukan sahaja oleh pengeluar tetapi juga pembekal, pengedar, bengkel, insurans, logistik dan institusi kewangan.

“Industri automotif mempunyai kesan berganda ke atas ekonomi, malah setiap pembelian kereta baharu menyokong pekerjaan, teknologi dan pelaburan dalam sektor ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here